Dua lagu baharu bertemakan semangat patriotik akan dipendengarkan kepada umum buat kali pertamanya pada Selasa ini dan salah satunya berjudul Keluarga Malaysia menampilkan lirik ciptaan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi Ara Johari, Masya Masyitah, Putra Muhammad dan Sufi Rashid itu adalah sebagai menyahut aspirasi dan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai Keluarga Malaysia.

Lagu kedua adalah Menang Bersama merupakan hasil ciptaan Pengarah Muzik Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Mokhzani Ismail yang dipersembahkan oleh Faizal Tahir.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Mohammad Mentek, walaupun Perdana Menteri baru sahaja memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia, mereka di KKMM telah menyambut konsep itu dengan mencipta dua lagu baharu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 itu turut berpuas hati dengan perjalanan raptai penuh yang dibuat.

“Kita berdoa semoga cuaca pada 31 Ogos menyebelahi kita sebab kita cuma ada empat persembahan sahaja dan ada acara tambahan di Dataran Pahlawan Negara bermula pada jam 8 pagi dan rakyat Malaysia boleh menonton dari rumah masing-masing bermula jam 7.30 pagi di saluran TV1 RTM.

Tambah beliau lagi, antara acara persembahan yang akan berlangsung di Dataran Pahlawan adalah persembahan drumline oleh Angkatan Tentera Malaysia, kawad senyap oleh Tentera Laut Diraja Malaysia, pancaragam gabungan anggota uniform dan persembahan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia.

Sekadar info, Annuar dinamakan sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam pengumuman pembentukan kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat lepas dan akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.