Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik Ketika Guna Telefon Bimbit Sedang Dicas
Seorang penghantar barangan ditemukan maut, disyaki akibat terkena renjatan elektrik semasa menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas ketika rumahnya dinaiki air banjir di Kampung Padang Jawa, Klang petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan mayat lelaki tempatan berusia 24 tahun itu oleh orang awam pada jam 6.11 petang di sebuah rumah lot satu tingkat di kawasan berkenaan.
"Mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap, memakai kemeja-T tanpa lengan berwarna biru gelap dan seluar pendek hitam.
"Siasatan awal mengesyaki mangsa terkena renjatan elektrik semasa menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas ketika rumah dinaiki air banjir," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata pemeriksaan ke atas tubuh mangsa tidak menemui sebarang kesan pergelutan atau kecederaan luaran.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk proses bedah siasat," tambahnya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Fildza Che Ibrahim di talian 016-9537372 bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, seorang lelaki warga Sri Lanka dilaporkan maut bersama seekor anjing, dipercayai akibat renjatan elektrik di sebuah stor menyimpan barang-barang pembinaan di Taman Alam Indah, Seksyen 25, Shah Alam.
Sumber: Astro AWANI