Eina Azman Bawa Suami Bersiar-Siar Naik Helikopter Sempena Ulang Tahun Kelahiran ke-41, Seronoknya!

ZULHILMI JALIL
Januari 24, 2020 02:45 MYT
Pelakon Datin Paduka Eina Azman membawa suaminya bersiar-siar melewati ruang udara Kuala Lumpur dengan menaiki sebuah helikopter semalam.
Ia merupakan kejutan yang dibuat Eina atau nama sebenarnya, Ainur Syakina Azman, 25 bagi meraikan sambutan ulang tahun kelahiran suaminya, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Harden yang ke-41.
Pelakon drama Rahsia Hati Perempuan itu berkongsi hal tersebut menerusi beberapa potong video yang dimuat naik di Instagram Story miliknya.
Eina yang cuba membuat kejutan tersebut bertindak menutup mata suaminya terlebih dulu sebelum tiba ke lokasi bagi menaiki helikopter.
Pelakon filem Ratu The Movie itu turut membawa anak kembarnya, Karl Kareef dan Arianna Aubrey, yang berusia empat tahun bersama-sama menaiki helikopter.
Kesemua mereka mengenakan busana sedondon berwarna putih.
"Selamat Hari Jadi kepada suami tercinta, @datopadukakaiser. Awak adalah segala-galanya buat saya.
"Saya sangat bersyukur memiliki awak sebagai seorang suami untuk selama-lamanya. Saya sayang awak," tulis Eina menerusi satu entri berasingan di Instagram.
Eina mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan tersebut pada 31 Ogos 2014.
Hasil perkongsian hidup, mereka kemudian dikurniakan sepasang anak kembar, Karl Kareed dan Arianna Aubrey pada 19 Februari 2016.
Foto: Instagram @eina_azman
Video: Instagram @skyriderkl
#pelakon #Eina Azman #Pelakon