Menjadi pelakon Korea pertama menyertai Marvel Cinematic Universe (MCU) pastinya satu pencapaian terbesar dalam karier Ma Dong-seok atau lebih dikenali sebagai Don Lee.

Peluang untuk beraksi bersama pelakon Hollywood hebat lain seperti Angelina Jolie dan Salma Hayek pastinya menjadi satu pengalaman cukup hebat buat aktor ini.

Gempak berkesempatan bertemu Don Lee menerusi satu sesi bual secara Virtual baru-baru ini dan berikut merupakan antara perkongsiannya sepanjang melakonkan watak Gilgamesh dalam Marvel Studios' Eternals.

Soalan 1: Apakah pengalaman anda berlakon dengan pengarah Chloé Zhao?

Don Lee: Sebagai pengarah filem, dia sangat pintar dan bijak. Secara peribadi pula, dia sangat baik dan sentiasa ada untuk berbincang dengan pelakon-pelakon di set penggambaran.

Saya sudah meminati Chloe sebelum dia memenangi Oscar lagi. Saya ada tonton filem The Rider dan saya sangat kagum dengan hasil kerjanya.

Disebabkan itulah, saya sangat teruja dengan projek Eternals ini.

Soalan 2: Anda seorang bintang yang hebat di Korea, namun adakah berlaku momen ‘starstruck’ di set penggambaran? Boleh anda kongsikan?

Don Lee : Angelina Jolie merupakan bintang bertaraf dunia dan saya sangat meminati beliau. Memang sangat teruja untuk bekerja dengannya dan ketika pertemuan pertama kami, sudah tentu saya ‘starstruck’.

Namun, apa yang lebih menakjubkan apabila kami berlakon bersama, sesuatu yang lebih baik dann tidak dijangka berlaku! Kami rasa sangat selesa bersama, malah dia membuatkan saya terasa seperti berlakon dengan rakan baik.

Namun, bukan hanya Angelina Jolie, semua pelakon juga sangat senang dan selesa untuk berlakon bersama. Mereka sangat hebat!

Soalan 3: Kini terdapat juga pelakon Korea lain yang menerima tawaran daripada Marvel iaitu Park Seo-joon untuk filem Captain Marvel 2. Jadi bagaimana anda melihat potensi untuk bakat daripada Korea iini ke Hollywood?

Don Lee: Park Seo-joon merupakan kawan baik saya, malah dia seperti adik lelaki saya. Kami sangat rapat dan sering berkerja bersama.

Sudah tentu saya gembira apabila dia juga sudah menyertai Marvel. Bagi saya memang ramai lagi bakat bagus di Korea, tetapi bukan hanya di Korea saja, malah di seluruh dunia.

Saya harap banyak lagi peluang diberi kepada bakat-bakat ini.

Soalan 4: Pastinya banyak babak aksi dalam filem ini, jadi apakah cabaran dan berapa lama diperuntukkan untuk memastikan ia berjaya?

Don Lee: Yup anda betul, memang banyak babak aksi serta pertarungan dalam Eternals.

Bagi saya, boleh dikatakan saya agak bersedia sebenarnya dengan babak pertarungan sebegini kerana sejak saya muda lagi saya sudah cergas seperti atlet.

Seawal umur 14 tahun saya sudah aktif dalam sukan tinju. Saya juga kerap bersenam untuk meningkatkan lagi kekuatan badan.

Semuanya untuk memastikan prestasi lakonan saya, bukanlah untuk fizikal semata-mata. Lebih kepada untuk menjadi karakter Gilgamesh.

Selain itu, saya juga sudah lama atau bertahun bergelumang dalam filem aksi. Setahun mungkin dua tiga filem aksi, jadi saya sudah bersedia sejak awal lagi.

Walau bagaimanapun, untuk Eternals, ia tetap menjadi pengalaman menakjubkan kerana untuk watak Glamesh ini ia agak berbeza.

Contohnya, saya perlu ‘shoot’ satu babak aksi untuk empat minggu.

Ini kerana mereka perlu membuat banyak ‘post production’, jadi mereka perlu pastikan saya betul-betul lengkapkan segala aksi dalam babak tersebut.

Jangan Lupa Tonton Marvel Studios' Eternals!

Sekadar info, Eternals mengisahkan sekumpulan makhluk istimewa bergelar Eternals ciptaan entiti-entiti seakan dewa yang dikenali sebagai para Celestials.

Misi utama Eternals adalah untuk memusnahkan populasi sekelompok makhluk digelar Deviants.

Adakah mereka berjaya menewaskan Deviants, anda perlu saksikan Eternals yang kini sedang rancak ditayangkan di pawagam!

BACA: #PopcornTime: Adakah Eternals Filem Marvel Paling Hebat Pernah Dihasilkan? Ini Ulasannya!