Ella Guna Khidmat ‘Bodyguard’ Untuk Mudahkan Urusan - “Ini Lebih Kepada Soal Keselamatan”
Asyikin Mayudin
24/05/2024 07:55 MYT
24/05/2024 07:55 MYT
Ratu rock, Ella mendedahkan dia menggunakan khidmat pengawal peribadi sekiranya perlu memenuhi undangan pentas mahupun acara-acara yang membabitkan orang ramai.
Untuk Keselamatan
Selain ditemani kakaknya sendiri, Jojie, Ella berkata, dengan adanya pengawal peribadi segala urusannya menjadi mudah dan lancar.
“Sebenarnya saya sudah lama pasang bodyguard (pengawal peribadi) yang juga jurulatih senaman. Sambil jaga keselamatan, dia turut membantu hal ehwal rutin senaman.
“Sebelum ini pun ke mana-mana sahaja saya sentiasa ditemani Jojie, penata rias serta pengawal peribadi dan suami jika dia tiada urusan lain.
“Ini lebih kepada soal keselamatan memandangkan saya perlu banyak bergerak memenuhi undangan ke beberapa lokasi, lebih lancar dengan adanya bodyguard,” katanya kepada Gempak.
Bukan Menunjuk-Nunjuk
Disoal sama ada sengaja mahu menunjuk-nunjuk status diri, penyanyi lagu Sembilu ini memberitahu dia tidak pernah terfikir mengenai perkara itu.
“Suami saya sendiri, turut menyarankan lebih baik mendapatkan bantuan mereka yang profesional kerana tiada kompromi dalam soal keselamatan,” ujarnya.
Bagaimanapun, apabila ditanya adakah pernah berhadapan dengan situasi yang berbahaya sebelum ini, Ella berkata peminatnya sangat berhemah.
BERITA TRENDING: Konsert ‘Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia’ Bakal Beri Kenangan Istimewa Buat Peminat
“Tidaklah bermakna saya pernah berhadapan situasi berbahaya atau enggan didekati peminat kerana selama ini pun ramai tak perasan adanya mereka di sekeliling saya.
“Peminat saya juga berhemah, ada bodyguard macam saya cakap membantu melicinkan urusan logistik. Biasanya ada dua orang akan temani kami ke majlis, tengok kepada keperluan kerana kalau konsert sudah tentu perlukan tenaga lebih ramai,” ujarnya.
Ella bakal mengadakan konsert ‘Jilid Rockerstra Ella: Rockers Juga Manusia’ yang akan diadakan pada 9 Ogos nanti di Plenary Hall, KLCC.