HIBURAN
Emma Maembong Jawab Dakwaan Sudah Berkahwin Dengan DJ Kidd - “Saya Memang Berkenalan Dengan Dia Tapi…”
Pelakon popular Emma Maembong tampil memberi respons mengenai dakwaan dia sudah bernikah dengan seorang deejay dikenali DJ Kidd seperti yang heboh di media sosial baru-baru ini.
Menurut Emma atau Fatimah Rohani Ismail, 33, dia masih solo meskipun sudah bercerai tahun lalu.
Pelakon drama Seribu Tahun itu turut memberitahu dia menjelaskan perkara ini selepas terlalu ramai yang menyangka dirinya sudah berkahwin baharu.
“Lagi saya diam dan lari ada pula yang ingat saya dah kahwin… Sebenarnya saya belum berkahwin dan masih solo.
“Bila saya tahu fasal gosip saya dah berumah tangga ni pun mulanya saya tak nak layan sampai isu ni hilanh sendiri, rupanya gosip tu masih datang sehingga ada yang ingat saya isteri orang,” katanya kepada Gempak.
Emma berkata demikian ketika ditemui pada sesi fotografi dan majlis berbuka puasa Star Powerhouse Entertainment di Hotel St Giles Boulevard, Kuala Lumpur pada petang Jumaat.
Tambah ibu kepada dua cahaya mata itu lagi, dia mengakui berkenalan dengan DJ Kidd, bagaimanapun sama sekali tidak pernah bercinta seperti yang heboh sebelum ini.
Jelas Emma lagi, mereka masih berkawan dan berhubung kerana aktres itu enggan hidup dalam kehidupan yang negatif.
“Ya saya memang berkenalan dengan dia, kami cuma berkawan dan tidak pernah bercinta.
“Dia seorang pembantu peribadi kepada kenalan saya di set penggambaran, saya bukan kenal dia sebagai deejay.
“Malah kami masih berhubung sebab saya tak pernah bermusuh dengan sesiapa,” jelasnya.
Dalam pada itu, Emma turut menyangkal dakwaan DJ Kidd adalah punca dia bercerai dengan bekas suami iaitu Muhammad Shazli Azhar tahun lalu.
“Tidak, tiada siapa punca saya bercerai.
“Bagi saya buku yang sudah ditutup kenapa nak kena buka balik?
“Saya selalu kata apa-apa yang jahat salahkan sahaja saya dan bukan orang di sekeliling saya,” ujarnya.
Terdahulu, tular spekulasi Emma didakwa telah berkahwin dengan seorang deejay selepas bercerai dengan bekas suaminya, Muhammad Shazli Azhar.
Malah Emma dan lelaki berkenaan turut didakwa bercuti bersama di luar negara berdasarkan gambar tular di media sosial.
Untuk rekod, Emma dan Shazli mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2020 sebelum mengumumkan penceraian pada 7 Oktober 2024.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki.
Must-Watch Video