Penyanyi Dayang Nurfaizah menarik perhatian wargamaya apabila persembahannya sewaktu Anugerah Juara Lagu 2015 yang khas ditujukan kepada mangsa pesawat MH370 kembali tular.

Menerusi laman sosial Twitter, seorang pengguna @ibcig berkongsi sepotong video persembahan Dayang menerusi lagu Di pintu Syurga untuk tatapan umum.

“Bagi memperingati MH370, kalau anda dengar balik akhir lagu Di Pintu Syurga masa live AJL 29, ada suara rakaman juruterbang Kapten Zaharie Ahmad kata, "Good night Malaysian three-seven-zero".

“Baju Dayang pakai pulak putih simbolik kepada awan,” tulis pengguna itu menerusi satu kicauan.

p>Pada awal pagi 8 Mac 2014, sebuah penerbangan rutin harian, pesawat Malaysia Airlines MH370, dari Kuala Lumpur ke Beijing dilaporkan hilang bersama semua penumpang dan anak kapal.

“Good night Malaysian three-seven-zero” merupakan ungkapan terakhir yang dilafazkan oleh kapten Zaharie sebelum ia hilang dari pemantauan radar awam Malaysia pada jam 1.30 pagi.

Hasil tinjauan Gempak di ruangan Twitter, rata-rata wargamaya sebak dengan peristiwa MH370 yang masih menjadi misteri.

“Masih teringat lagu yang sangat memberi makna ni. Bila teringat je persembahan ni, mesti menangis #MH370,”ujar seorang wargamaya.

“6 tahun yang kekal dalam ingatan. Di mana jua semua penumpang berada, semoga mereka dalam keadaan yang baik,” tulis seorang wargamaya lagi.

“6 tahun kita semua menanti dengan harapan, ia berlalu tanpa jawapan. Tak akan sesekali dilupakan,” luah seorang wargamaya lagi.

Sehingga kini, video berdurasi lebih dua minit itu telah menerima hampir 25,000 tontonan dan 2,000 tanda suka daripada warga Twitter.

Pada persembahan yang diiringi petikan gitar itu, Di Pintu Syurga menduduki tempat ketiga dan Dayang membawa pulang anugerah vokal terbaik menewaskan 11 lagu lain.