Hiburan
Enam Tahun Menyepi, Trio Tiga Beradik KRU Tampil Dengan Muzik Video AI - "Muda Muka Masing-Masing"
Selepas enam tahun menyepi, kumpulan trio popular tiga beradik, KRU terus melakar sejarahnya tersendiri apabila tampil dengan video muzik (MV) untuk single terbaharu mereka, Voodoo, dari album Kaset.
BERITA BERKAITAN:KRU Tak Tergugat Dengan Kemunculan Artis Baru - “Kekuatan Itu Ada Pada Kami Bertiga...”
BERITA BERKAITAN:Trio KRU Muncul Kembali dengan Album Kaset - “Kami Pun Rindu Nak Nyanyi Bersama-Sama”
Menurut Norman, kali ini lebih istimewa apabila mereka sepakat menggabungkan sentuhan nostalgia bersama inovasi teknologi, menjadikannya buah tangan istimewa buat peminat mereka.
"Lagi Voodoo ini bergenrekan Pop Dance, Hip Hop, dan R&B, mengekalkan DNA muzik asal KRU dengan menampilkan kematangan dari segi vokal dan kreativiti dalam penciptaan lagu.
"Seperti biasa KRU akan tampil dengan lagu-lagu rancak tetapi masa sama akan ada lagu slow kami seperti permintaan peminat.
"Menariknya, MV kami menampilkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan kembar digital (Digital Twin) ketiga-tiga anggota KRU," katanya di pelancaran MV Voodoo pada Rabu.
Jelas abang sulung kepada kumpulan ini juga, kemunculan AI itu juga menjadikan KRU artis tempatan pertama yang memanfaatkan teknologi berkenaan.
"Sebenarnya inilah yang kami cuba tampilkan yang mana kami nak buktikan KRU mampu kekal sebagai perintis dalam inovasi muzik dan hiburan.
"Saya rasa sudah tiba artis-artis lain juga menggunakan teknologi ini,"ringkas Norman.
Voodoo dicipta oleh Norman, Yusry, dan Edry, menceritakan kisah seorang lelaki yang terpikat dengan keunikan wanita luar biasa yang diterjemahkan melalui lirik dan muzik dalam MV berkenaan.
Norman berharap, peminat juga dapat menerima lagu Voodoo dengan baik yang kini boleh didengari menerusi platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Deezer, dan KKBox.
Sebelum ini KRU yang tampil dengan album Kaset menampilkan 10 lagu baharu dan setiap single akan dilancarkan setiap bulan bermula November.
Pelancaran bulanan itu untuk menarik perhatian peminat baru, terutamanya golongan muda.