Kumpulan KRU menyatakan mereka sama sekali tidak berasa tergugat dengan kemunculan artis-artis baharu.
Menurut Yusry, keunikan dan kelainan genre lagu yang dibawa oleh KRU sejak awal kemunculan mereka memberi kelebihan kepada kumpulan yang popular sekitar tahun 90-an itu.
“Semuanya berbeza, baik dari segi muzik, perwatakan, mahupun video. Jadi, dari segi evolusi, KRU tetap bersinar kerana kami masih bersama hingga hari ini.
“Sampai satu tahap, kami fikir apa lagi yang ingin kami lakukan untuk terus kekal dalam industri ini. Kami ada butang ‘reset’.
“Jadi, dalam enam tahun ini, masing-masing sibuk dengan kerja sendiri, kemudian kami tekan butang ‘reset’, dan cari semula formula kejayaan.
"KRU tetap KRU. Sebetulnya, kekuatan itu ada pada kami bertiga,” katanya.
Tambah Yusry lagi, kecanggihan teknologi masa kini bukan cabaran besar kepada kumpulan lama seperti mereka sebaliknya memberikan satu kelebihan.
“Kami juga menggunakan platform seperti TikTok, dan pernah suatu ketika, lagu kami menjadi FYP.
“Bagi kami, itu semua bukan masalah. Cuma dalam pembikinan lagu, kami perlu menyesuaikannya dengan zaman sekarang. Itu sahaja,” ujarnya.
KRU bakal muncul dengan album terbaharu mereka yang berjudul Kaset pada November ini.