Hiburan

Enggan Dikelilingi Pengaruh Negatif, Haqiem Rusli Hindari Kawan Toksik

gempak
Kamaruddin Razal
12/03/2020
12:49 MYT
Sponsor Banner
Enggan Dikelilingi Pengaruh Negatif, Haqiem Rusli Hindari Kawan Toksik
Penyanyi dan komposer Haqiem Rusli mengakui dirinya banyak belajar dari pelbagai kontroversi yang pernah tercetus satu ketika dahulu.
Enggan dibayangi sejarah hitam, Haqiem kini lebih berhati-hati dalam setiap langkahnya.
"Saya akui, beberapa tahun dahulu saya sering dibelenggu isu-isu panas tetapi saya banyak belajar dari perkara itu. Saya kini lebih berhati-hati merencana kerjaya.
"Selain itu, saya sendiri tak mahu dikelilingi dengan perkara negatif yang boleh memberikan impak buruk. Saya menghindari rakan toksik dan menapis rakan-rakan yang saya ada.
"Bukannya bergaduh dengan mereka tapi sudah sampai saatnya saya memberikan keutamaan kepada diri sendiri dan saya percaya, perkara ini penting untuk perjalanan karier saya," katanya.
Muncul dengan single Bangkit, Haqiem memberikan satu kelainan menerusi buah tangan terbarunya.
"Saya mencoretkan cerita insan yang pernah ditindas menerusi lagu terbaru saya yang berjudul Bangkit... Ia sarat dengan mesej positif.
"Sejujurnya, lagu ini tiada kaitan dengan kisah hidup saya tetapi saya harap ia dapat memberikan kesan baik kepada mereka yang pernah melalui pengalaman sebegitu," katanya lagi.
Haqiem ditemui di majlis pelancaran Jelajah Agropreneur Muda 2020 anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) baru-baru ini.
Dalam acara terbabit, Haqiem dilantik menjadi Ikon Selebriti Jelajah Agropreneur Muda 2020 bersama Baby Shima.
"Saya memang minat dengan bidang pertanian dan peluang ini merupakan satu cara untuk saya rasa lebih dekat dengan minat terbabit," kata Haqiem.
Jelajah Agropreneur Muda 2020 merupakan salah satu usaha kementerian untuk menggalakkan penglibatan golongan muda di dalam sektor pertanian serta diadakan di lima zon seluruh negara melibatkan Zon Utara, Timur, Borneo, Selatan dan Tengah.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid, Jelajah Agropreneur Muda 2020 akan bermula esok di Zon Utara melibatkan negeri Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
"Bermula 13 sehingga 15 Mac, Jelajah Agropreneur Muda 2020 akan berlangsung di Dataran Datuk Syeikh Ahmad, Kangar, Perlis. Mengenai wabak COVID-19 yang sedang berleluasa, kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dijalankan sempena jelajah itu.
"Topeng muka dan cecair pembasmi kuman di penghujung jelajah akan disediakan. Selain itu, kami akan sentiasa memberi peringatan kepada pengunjung untuk mempertingkatkan kebersihan diri," katanya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live