Laman Utama
Ernie Zakri Hamil?
Penyanyi Ernie Zakri menafikan khabar angin dirinya kini sedang berbadan dua.
Jelas Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 29, dia memohon doa yang baik dari orang ramai dan menghormati situasinya yang baru kehilangan ibu mentuanya pada Ahad lalu.
"Siapa saja yang berkahwin yang tak nak timang cahaya mata? Memang itu perancangan kami. Selepas berkahwin kami nak sangat cepat-cepat dapat anak.
"Apa yang mampu saya katakan buat masa ini, dalam keadaan kami sekeluarga sedang bersedih, tolong doakan saya dapat timang anak cepat-cepat. Semoga ada rezeki untuk saya ada anak bersama Syamel," jelasnya kepada Gempak.
Ernie ditemui selepas sesi bacaan Yasin dan tahlil arwah ibu mentuanya, Wan Faaizah Karim secara virtual pada Khamis.
Turut ditemani suaminya, Syamel, Ernie sempat berseloroh akan spekulasi yang mula tercetus gara-gara perubahan bentuk fizikalnya selepas lima bulan mendirikan rumah tangga.
"Pipi ini rezeki sebab suami saya banyak bagi makan," kata Ernie tertawa.
Sementara itu, ulas Syamel, dia dan isteri tidak akan menyembunyikan khabar gembira daripada pengetahuan ramai andai ada rezeki untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat.
"Kami tak ada masalah untuk berkongsi kepada semua, insya-Allah jika isteri saya hamil kami sendiri akan maklumkan. Cuma, saya mahukan doa yang baik-baik daripada semua.
"Kami takkan merahsiakan. Kalau ada masa yang sesuai dan dah sampai waktunya kami akan beritahu," tambahnya.
Pasangan penyanyi popular itu telah mendirikan rumah tangga pada 26 Mac lalu selepas bertunang pada 15 Ogos 2020.