Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum episod kemuncak drama bersiri I-Tanggang ditayangkan kepada umum.

Pelbagai reaksi daripada penonton dapat dilihat sejak episod pertama disiarkan dan rata-rata memberi pujian baik terhadap penceritaan, nilai produksi dan juga kualiti lakonan para pelakonnya.

Menurut salah seorang tonggak utama I-Tanggang, Emma Sofea, dia seperti tidak percaya yang perjalanan watak Esra bakal tamat tidak lama lagi.

“Saya macam tak percaya masa berjalan sangat pantas. Saya masih mengingati apabila episod pertama disiarkan. Ketika itu, saya fikir mesti lama tempohnya nak sampai episod akhir.

“Tetapi, saya lega kerana dapat tunjukkan kepada penonton apa yang telah kita hasilkan dan gembira menerima maklum balas positif daripada orang ramai. Dan sebagaimana saya banyak belajar daripada siri ini, saya juga berharap penonton dapat belajar daripada I-Tanggang,” katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu, Sofea turut ditanya mengenai perkara yang boleh dijangka oleh penonton menerusi episod terakhir I-Tanggang nanti. Kata Sofea, sila jangka hal yang tidak dijangka.

“Untuk episod akhir, saya rasa tak boleh kongsikan terlalu banyak… you can expect the unexpected. Bersiap sedia untuk ‘duduk di hujung kerusi’.

“Saya juga berharap agar semua penonton dapat penamat seperti yang mereka mahukan dan menikmati I-Tanggang sehingga ke akhirnya,” ujar Sofea lagi.

Dilakonkan oleh Faizal Hussein, Sherie Merlis, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofea, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Sofia Jane dan Andy Teh episod akhir drama I-Tanggang bakal disiarkan pada Isnin depan 29 November 2021 pukul 9 malam di Astro Citra.