Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
HIBURAN

Ezzrin Loy Kongsi Momen Emas Jumpa Tom Cruise, Terima Ucapan Istimewa - “Saya Doakan Anda Berjaya Dalam Hidup”

Khairil Khusyairi 08/05/2025 | 21:50 MYT
Pelakon, Ezzrin Loy mencuri perhatian ramai apabila berpeluang bertemu dengan bintang terkemuka Hollywood, Tom Cruise di Tokyo, Jepun baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Ezzrin atau nama lengkapnya Ahmad Ezzrin Loy Ahmad Sabri, 27, berkongsi momen berharga dia bertemu dengan Tom pada acara tayangan perdana filem Mission: Impossible - The Final Reckoning.

Teruja Bersemuka & Berborak Bersama Idola

Dalam rakaman video penuh istimewa itu, adik kepada pelakon, Elfira Loy itu teruja bersemuka dan berborak bersama aktor legenda itu.

“Hai Tom, gembira berjumpa dengan anda. Saya peminat anda. Kami tidak boleh tidur malam kerana mahu bertemu dengan anda hari ini. Kamu sangat istimewa.

“Saya sangat mengagumi anda dari filem Top Gun dan Mission Impossible. Terima kasih untuk semua yang anda lakukan kepada industri dan menghasilkan karya berkelas dunia.

“Saya adalah pelakon zaman kanak-kanak dari Malaysia. Saya sangat meminati anda,” ujar Ezzrin kepada Tom.

Tom Hargai Ezzrin

Terharu dengan ucapan Ezzrin tersebut, Tom berterima kasih kepada Ezzrin kerana hadir ke acara tersebut.

“Terima kasih untuk kata-kata anda, ia sangat bermakna buat saya. Terima kasih juga kerana berada di sini. Anda pasti akan sukakannya,” balas Tom.

Sebelum meninggalkan momen tersebut, Ezzrin turut membuat permintaan dengan meminta Tom untuk menurunkan tandatangan di bola golf miliknya.

Doakan Berjaya Dalam Hidup

Lebih istimewa, Tom turut mendoakan Ezzrin agar gembira dan berjaya dalam kehidupan.

“Saya doakan anda gembira dan berjaya dalam hidup,” ucap Tom kepada Ezzrin sambil berjabat tangan.

Menjengah ke ruangan balas, rata-rata rakan selebriti menyifatkan Ezzrin sangat beruntung berpeluang bertemu dengan Tom Cruise.

Malah, ramai turut memuji keperibadian Tom Cruise yang merendah diri apabila berborak bersama Ezzrin.

#pelakon #Hollywood #Tom Cruise #Malaysia #Ezzrin Loy #Aktor #Bintang #Jumpa