Nampaknya, pelawak dan penyampai radio popular, Fad Bocey kini mengembangkan sayap kariernya ke bahagian bisnes perubatan apabila dia dan isteri bekerjasama untuk membuka sebuah cawangan Megaklinik Zahran.

Menurut pemilik nama lengkap, Muhammad Fadzlie Mohd Nizam itu, klinik yang terletak di Publika berkenaan bakal beroperasi dan dibuka kepada pelanggan sekitar Mei atau Jun depan.

“Mengikut perancangan asal, kami ingin buka klinik di Kedah atau Johor. Tetapi, sudah ada yang menempah slot di sana, jadi kami perlu pilih slot kosong yang ada. Sebab itu kami memilih Publika.

“Untuk pengetahuan, klinik masih dalam proses ubah suai dan jika kena pada perancangan, insya-Allah akan mula beroperasi pada Mei atau Jun,” katanya.

Fad berkata, idea untuk membuka klinik berkenaan adalah disebabkan kemahuan selain sikap isterinya yang sangat pentingkan kesihatan anak-anak.

“Isteri saya memang penting keselamatan dan kesihatan. Tetapi dia bukanlah seorang yang paranoid. Sebagai contoh, dia tekankan supaya sebelum masuk rumah harus mandi terlebih dahulu.

“Sampaikan saya pun menjadi risau sebab saya sendiri sering keluar rumah. Jadi, saya pun mandi terlebih dahulu selepas pulang bekerja sebelum jumpa dengan anak-anak.

“Anak-anak saya ramai, kena hati-hati. Jadi isteri saya dan pemilik Megaklinik Zahran selalu share pendapat dan di situ tercetusnya keingin nak memiliki sebuah klinik sendiri,” katanya lagi.

Fad dan isterinya Syaheera mendirikan rumah tangga pada 14 Mac 2015. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Favian Adrazin Hayyan, 7, Favian Adrazin Zayyan, 7, Nur Aminah Mishal, 5, dan Ibrahim Jibriel, 1.