Laman Utama
Faham Keadaan Janna Nick, Alif Satar; "Bayangkan Orang Tengah Sakit, Kita Cakap-Cakap"
Selebriti versatil, Alif Satar akui isu kesihatan mental bukanlah satu perkara yang boleh dipandang ringan.
Alif percaya, seseorang yang mengalami masalah kesihatan mental memerlukan perhatian daripada orang sekeliling setelah mereka berkongsi masalah.
"Depresi atau masalah mental adalah satu perkara yang sangat serius, ia satu penyakit yang kita tak nampak, bukan seperti demam dan sebagainya.
"Ia boleh terselindung di sebalik senyuman seseorang, sedangkan pelakon komedi Robin Williams yang kita lihat pekerjaanya sentiasa mengembara seluruh dunia dan makan pun membunuh diri kerana ada masalah yang terselindung di sebalik penglihatan kita.
"Saya pernah mempromosikan Green Ribbon Foundation yang diasaskan oleh Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Al-Sultan Abdullah yang menekankan kepentingan kesihatan mental. Saya sangat menyokong kempen ini.
"Kesihatan mental bukan perkara untuk dibuat main, mereka yang mengalaminya memerlukan perhatian dari orang sekeliling," katanya kepada Gempak.
Alif berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran muzik video lagu berjudul Lagu Raya bersama The Locos sekaligus mempromosikan menu keluaran Pasta Panas di Bangsar, semalam.
Berkenaan isu Janna Nick yang sedang mengalami masalah kesihatan mental, Alif tidak mahu komen lanjut, namun memahami keadaan pelakon itu.
"Saya tak mahu komen tentang keadaan orang lain yang sedang mengalami masalah kesihatan, bayangkan orang tengah sakit kita cakap-cakap tentangnya.
"Sebagai rakan artis, saya doakan yang terbaik untuk Janna dan sesiapa sahaja yang mengalami depresi, mereka harus lihat perkara ini dengan serius.
"Bukan sekadar memberitahu atau berkongsi masalah dengan orang lain, tetapi mereka harus mendapatkan bantuan secara profesional dari pakar kesihatan mental dan sebagainya," katanya menutup bicara.
Menerusi laporan Gempak pada 22 April lalu, Janna mendedahkan dia menghidap penyakit gangguan mental yang dikenali sebagai bipolar.
Menurut Janna, dia juga mengambil masa seminggu untuk menjauhkan diri daripada media sosial dan mengambil ubat anti tekanan dalam masa sama.
Kredit Foto: Instagram Alif & Janna