Penyanyi popular, Faizal Tahir telah bekerjasama dengan Zee Avi buat pertama kalinya menerusi lagu Make It Through.

Lagu tersebut merupakan kempen #KitaSapotKita yang dihasilkan oleh Maxis Berhad ekoran krisis COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan di Malaysia.

Memetik laporan Harian Metro, Faizal mengatakan dia mahu memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia supaya kekal berfikiran positif.

"Kita faham ketika ini semua orang terkesan dan mengharungi cabaran atas apa yang berlaku.

"Mesej utama yang ingin disampaikan dalam lagu ini adalah harapan di mana kita semua akan menjadi lebih baik selepas ini.

"Paling penting, kita nak ajak masyarakat supaya tidak berfikiran negatif, lagu ini mudah difahami, mesejnya juga disampaikan secara ringkas. Sesuai dengan kempen #KitaSapotKita, lagu ini mampu memberi inspirasi kepada kita semua untuk merealisasikan saranan kerajaan dalam menangani isu COVID-19," katanya.

Sementara itu, Zee Avi pula berharap agar orang ramai tidak terus bersedih.

“Kita telah lalui banyak perkara dalam tempoh lebih sebulan ini. Jadi, menerusi lagu dan lirik lagu Make It Through, kami nak bawa anda keluar dari semua itu. Kita tidak mahu masyarakat terus bersedih.

“Dalam pada kita duduk di rumah dan bersabar, kita harus terus berfikiran positif. Jadi, kita kena patuh pada arahan supaya semuanya menjadi lebih baik” katanya.

Make It Through telah ditulis oleh Faizal, Zee Avi dan John Jeevasingham dan digubah oleh Zee Avi.

Antara potongan lirik dalam lagu itu adalah seperti di bawah.

'Dunia tanpa rasa kecewa
Harapan kita setiap insan
Susah dan senang
Hidup bersama
Biar cara kita berbeza'



Dalam pada itu, Ketua Jenama dan Pemasaran Maxis, Tai Kam Leong berkata, perkongsian lagu Make It Through di media sosial akan menjadi satu bentuk sumbangan untuk disalurkan ke Yayasan Kebajikan Negara untuk usaha amal berkaitan krisis COVID-19.

“Rakyat Malaysia dijemput untuk memberi sumbangan dengan hanya perlu mendengar dan berkongsi video muzik, untuk disalurkan ke Yayasan Kebajikan Negara untuk usaha amal yang berkaitan dengan Covid-19 sebagai sebahagian daripada Kempen #KitaSapotKita Maxis.

"Semua pengguna Maxis juga dapat memberikan sumbangan dengan melanggan lagu baru Make It Through sebagai nada dering pemanggil.

“Harapan kita di Maxis adalah untuk menyatukan rakyat Malaysia supaya saling membantu dengan mendengar dan berkongsi lagu ini. Kami berterima kasih kepada banyak pihak yang terbabit dalam melancarkan kempen dan video ini,” katanya.



Anda juga berpeluang untuk berkongsi video anda sendiri dalam versi rakyat Malaysia dengan memuatnaiknya di Instagram.

Pihak Maxis akan menggabungkan kira-kira 100 video dari kiriman Kandungan yang Dihasilkan Pengguna (UGC) dalam bentuk montaj video muzik khas.

Kiriman video akan dipilih berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat dan akan berakhir pada 1 Mei 2020.

Difahamkan, video muzik itu juga akan dimuatnaik di YoutTube, Spotify, Apple Music dan Joox.

Sumber : Harian Metro, YouTube