Pempengaruh, Faizdickie mendedahkan yang banyak perubahan dirasai selepas dia mulai serius untuk menjadikan bidang penciptaan kandungan (content creation) sebagai fokus utamanya.

Menurut Faizdickie atau nama sebenarnya Mohd Nasrul Faiz Abu Azal, ketika mula-mula bergelar pencipta kandungan (content creator), lelaki berusia 35 tahun itu bebas untuk menghasilkan sebarang kandungan untuk dikongsikan di media sosial.

Malangnya, hal tersebut tidak lagi berlaku memandangkan batas-batas yang perlu dijaga, sementelah dirinya kian popular.

"Kalau ikutkan, memang berbeza dulu dan sekarang. Kalau masa mula-mula bergelar content creator, saya bebas buat parodi tentang isu semasa dan masyarakat.

“Namun, lepas dikenali, saya beralih kepada kandungan yang saya rasa boleh dimanfaatkan oleh pengikut dan juga masyarakat. Contohnya gaya hidup dan juga pelancongan,” katanya kepada Gempak.

Faizdickie berkata demikian pada sidang media drama bersiri Cik Misi 123 yang diadakan di ibu kota baru-baru ini.

Dalam pada itu, Faizdickie turut menasihati pembikin kandungan untuk sentiasa berhati-hati dalam berkongsi karya menerusi platform masing-masing.

“Sebenarnya kita nak famous memang senang, buat benda yang lain daripada lain. Tapi kalau kita buat perkara yang bodoh, orang masih akan bercakap dan berkongsi, tapi hal ini bukanlah satu perkara sihat.

“Contoh, kalau kita mula dikenali dengan kandungan yang tak elok, orang akan label kita sebagai pencipta kandungan yang suka buat kandungan sedemikian rupa. Sampai bila kan?

"Jadi, sebelum kita nak mulakan apa-apa, kita fikir dulu. Tak salah pun kalau buat kandungan yang viral untuk naikkan nama, tapi bila dah terkenal, kita kena ubah supaya ia lebih diterima masyarakat,” katanya lagi.

Selain Faizdickie, Cik Misi 123 turut dibintangi oleh Adam Lee, Sweet Qismina,Hafreez Adam, Bella Dally, Afifah Nasir, Malek Mccrone dan Wan Sharmila.

Bermula 9 Oktober, Cik Misi 123 ditayangkan Isnin hingga Khamis pukul 6 petang di Astro Ria dan Astro GO.

BACA: "Tak British Pun, Kata Belajar Kat UK" - Netizen Perlekeh Bahasa Inggeris Faizdickie​