Personaliti media sosial, Farah Lee meluahkan rasa terkejut apabila misinya untuk menyalurkan bantuan peralatan solat untuk mangsa banjir menerima sambutan luar biasa.

Menurut Farah yang juga bekas isteri pengacara Ally Iskandar itu, sasaran awal untuk membeli 300 set telekung dan sejadah dengan target RM9,000 kini sudah mencecah RM69,023 hanya dalam tempoh sehari.

"Itulah sebab kenapa Farah gelabah sangat hari ini ke sana ke sini sebab target asal untuk agihkan 300 set telekung dan sejadah sahaja.

"Tapi oleh kerana korang semua sangat bermurah hati, dengan jumlah itu Farah dah tak mampu untuk urus dengan kapasiti peribadi," katanya menerusi satu hantaran di Instagram.



Disebabkan itu juga kata Farah, misi #FLbanjirAID yang dijalankannya itu akan mendapat kerjasama daripada Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat dan Pusat Khidmat DUN Alur Limbat Terengganu yang bersetuju untuk menanggung perbelanjaan operasi lain untuk proses agihan.

Katanya lagi, disebabkan menerima jumlah sumbangan yang banyak, kata Farah, dia akan membeli barangan keperluan lain untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

"Jadi, sekarang, alhamdulillah boleh tambah sumbangan kepada 1000 set solat kit. Sebahagian lagi Farah akan beli barang-barang lain yang diperlukan ikut kawasan sebab tak semua kawasan perlukan barang-barang yang sama jadi saya perlu untuk spesifikkan supaya tiada longgokan," katanya.

Jelasnya lagi, memandangkan jumlah tersebut melebihi target asal, katanya baki yang ada nanti akan digunakan misi bantuan pasca banjir.

"Baki selepas tu, Farah akan kumpul untuk #FLbanjirAID 2.0 (Pasca Banjir) pula. Pasca banjir ni lagi banyak perlukan sumbangan sebenarnya sebab nak beli barang rumah, barang elektrik, perabot, barang-barang sekolah, kelengkapan keluarga dan lain-lain," katanya.

Sebagai info, Farah antara personaliti media sosial yang banyak melakukan kerja amal dengan menjalankan misi bantuan kepada golongan yang memerlukan.

BACA: Farah Lee Buat Projek Hasilkan 6,000 Penutup Kepala & 3,000 Tudung Pakai Buang Buat Petugas Kesihatan