Laman Utama
Farid Kamil Sudah Sedia Bersara - "Saya Sudah Hasilkan Legasi, Itu Petandanya..."
Pelakon Farid Kamil mengumumkan dirinya sudah bersedia untuk bersara daripada industri hiburan pada bila-bila masa.
Kata Farid, 40, dia bagaimanapun menyerahkan soal rezeki dan perancangan itu kepada ketentuan Ilahi.
"Saya sudah bersedia untuk bersara pada bila-bila masa kalau sudah tak diperlukan lagi, apakan daya...
"Sebagai pelakon modal kita pada instrumen iaitu tubuh badan kita. Kalau kita tak mampu memberikan alunan atau getaran sama bermakna di situlah titik yang menjadi antara pemisah antara saya bersara atau tidak," katanya ketika sesi virtual drama Masih Ada Rindu pada Rabu.
Jelas Farid, keputusannya itu bukan disebabkan haters atau kontroversi yang sering menjerat dirinya sebaliknya, niat untuk bersara itu muncul apabila mengimbas semula pencapainya yang kini sudah membintangi 60 buah filem sepanjang karier.
"Saya tak rasa tekanan daripada haters menjadi punca saya berniat untuk bersara. Rupa-rupanya saya sudah membintangi 60 buah filem, lagi enam akan menyamai rekod seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
"Ini satu perjalanan yang jauh bagi saya, sedar-sedar sudah 60 buah filem dan apabila itu berlaku saya tahu sebagai hero filem di Malaysia, sejauh mana mampu bertahan?
"Tapi semuanya berbalik semula kepada rezeki masing-masing, saya reda dan menerima ketentuan Allah," jelasnya.
Cita-cita Farid, dia mahu membintangi 100 buah filem sepanjang hayatnya.
Sehingga kini, antara filem lakonan Farid ialah Mistik, 7 Perhentian, Remp-It, Anak Halal, Lagenda Budak Setan, J Revolusi dan akan datang Remp-It 2.
Dalam pada itu, Farid akui pembabitan anak sulungnya, Muhammad dalam lapangan seni menjadi petanda untuk dia mulai berundur sebagai pelakon.
"Susah nak cakap tentang persediaan sebab tak ada umur penamat untuk seseorang pelakon itu bersara. Tapi apa yang saya cuba sampaikan, saya sudah bersedia.
"Saya telah hasilkan hero baharu iaitu anak saya, Muhammad dalam filem Rempit 2. Apabila sudah ada legasi itu petandanya saya sudah bersedia untuk bersara," tambahnya.
Farid bakal muncul dalam drama terbaharu adaptasi novel, Masih Ada Cinta bergandingan dengan pelakon tinggi lampai, Mimi Lana.
Must-Watch Video