Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Fasha Sandha Menangis Terkenang Dugaan Rumah Tangga Fazura - “Saya Juga Pernah Lalui Kegagalan…”

Mya Amri
28/09/2024 06:55 MYT
Pelakon Fasha Sandha gagal menahan air mata apabila diminta mengulas mengenai ujian yang menimpa rumah tangga sahabatnya iaitu aktres Nur Fazura.

Menurut Fasha, apa yang dilalui oleh pasangan itu adalah dugaan buat mereka.

Malah, Fasha juga turut mengenang kembali jasa Fazura yang banyak membantunya ketika dia bergelar ibu tunggal suatu ketika dahulu.

“Saya dan Fazura kenal sejak usia saya 17 tahun, Fattah pula kawan dengan Aidil. Dua-dua rakan saya. Saya rapat dengan Fazura. Fazura adalah antara selebriti yang saya idolakan.

“Saya dan suami tidak pernah bersembang fasal rumah tangga artis lain. Tetapi apabila melibatkan Fattah dan Fazura, kami berdua sangat emosi sehingga menangis.

“Saya menangis sebab ingat pengorbanan Fazura beri baju raya sampai 20 pasang pada saya. Air mata ini bukan drama, kalau boleh tak mahu nangis namun apa yang terjadi adalah dugaan untuk Fazura dan keluarga.

“Fazura sentiasa layan saya dengan baik. Saya kenang budi Fazura. Dia tidak pernah lupa memberikan saya baju raya sepanjang tiga tahun saya bergelar ibu tunggal,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Wajah Ceria Fazura Ke Mahkamah Jadi Persoalan, Pengurus Minta Henti Buat Spekulasi - “Setiap Malam Dia Menangis”

ARTIKEL BERKAITAN: Didakwa Halang Fattah Hampiri Fazura? Ini Respons ‘Bodyguard’ - “Tak Ada Satu Arahan Suruh…”

ARTIKEL BERKAITAN: “Hormat Dan Beri Mereka Ruang”- Scha Alyahya Mohon Netizen Faham Situasi Fattah & Fazura


Fasha berkata demikian ketika ditemui di acara Zumba With Abby Abadi dan pelancaran produk terbaharu Inayah Beauty iaitu Honey Lemon pada Sabtu.

Dalam pada itu, Fasha juga menasihati orang ramai agar tidak mencampuri urusan rumah tangga Fattah dan Fazura, sebaliknyan mendoakan yang terbaik buat mereka.

“Fattah dan Fazura datang dari keluarga yang baik. Kita sebagai orang luar tidak boleh menilai apa yang berlaku terhadap mereka, hanya Fattah dan Fazura yang tahu kisah sebenar.

“Tidak perlu juga buat kronologi sendiri, apa yang sepatutnya kita buat adalah mendoakan yang terbaik buat mereka. Jangan tambah yang bukan-bukan kerana itu boleh menambah kedukaan pada hati Fattah dan Fazura.

Pernah berdepan kegagalam rumah tangga, isteri kepada aktor Aidil Aziz ini berkata, dia memahami keputusan yang dibuat Fazura apabila nekad menuntut perceraian.

“Saya mendoakan yang baik-baik buat mereka. Sebagai sahabat sudah pasti tidak mahu melihat dia di fasa terendah, namun hanya Fazura tahu apa yang dia lalui.

“Kenapa dia minta cerai, hanya dia yang tahu. Sebab wanita ini ada hadnya. Saya juga pernah melalui kegagalan dalam perkahwinan. Saya pernah failkan perceraian terhadap bekas suami iaitu Jejai.

Pada 13 September lalu, Nur Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, memfailkan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Menerusi sebutan kes permohonan perceraian yang berlangsung pada Rabu, mahkamah meminta pasangan selebriti itu menyelesaikan konflik rumah tangga mereka di luar mahkamah sebelum tarikh sebutan semula pada 7 Oktober depan.

Imbas kembali, Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia tiga tahun.

#Fazura #cerai #Fasha Sandha #Menangis #Fattah
;