HIBURAN

Fattah Amin & Hisyam Hamid Antara ‘Childhood Crush’ Leona - “Saya Suruh Ayah Hubungi Mereka Sebab…”

Asyikin Mayudin 15/03/2025 | 06:55 MYT
Pempengaruh Kasih Iris Leona mendedahkan tiga nama selebriti lelaki yang menjadi pujaannya ketika zaman dia masih di sekolah rendah.

Minta nombor telefon

Mesra dengan panggilan Leona, menerusi video yang dikongsikan di TikTok, anak kepada pelakon Azhar Sulaiman ini memberitahu ketika itu dia meminati Fattah Amin, Hisyam Hamid dan Shahiezy Sam.

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya Beli Jaket Mahal, Sampai Hati Cakap Macam Rider Makanan" - Leona

ARTIKEL BERKAITAN: “Bapanya Pun Juara Hilang Barang, Sejenis Pelupa” - Leona Kerap Lupa, Rupanya Ikut Perangai Azhar Sulaiman

ARTIKEL BERKAITAN: Azhar Sulaiman Izinkan Leona Kahwin Tahun Hadapan - "Syaratnya, Tolong Pastikan Bakal Suami..."

“Nak tahu rahsia? Masa saya masih kecil, saya biasa tonton drama Melayu di TV. Saya ada tiga selebriti yang saya suka (crush). Nombor satu adalah Fattah Amin, kedua pula Hisyam Hamid.

“Nombor tiga adalah Shahiezy Sam. Saya suruh bapa saya hubungi mereka sebab saya nak bercakap dengan mereka. Sejujurnya, saya rasa bapa saya tak pernah hubungi Fattah Amin.

“Tapi saya merayu dekat bapa saya untuk dapatkan nombor telefon mereka supaya saya boleh cakap ‘hi’. Adakah dia (saya) seorang gila? Ya, dia memang gila,” kongsi Leona.

Tonton filem

Pada perkongsian yang sama, Leona turut mengakui dia sangat meminati pelakon Gambit Saifullah sehingga menonton filem lakonan aktor itu sebanyak lima kali.

Leona mula meminati pelakon-pelakon lelaki tersebut selepas menonton drama dan filem Melayu sementara menunggu ibunya mengambil dari pusat tusyen.

“Special mention, Gambit Saifullah. Dalam filem Paskal atau filem apa… saya tak ingat, tapi dalam filem askar. Saya sangat suka dengan dia. Saya tonton filem itu sebanyak lima kali.

“Tapi ini hanya ketika di bangku sekolah rendah. Sebab ibu saya hantar saya ke pusat tusyen Bahasa Melayu dan ia sangat boring. Ibu saya pun selalu ambil saya lambat.

“Jadi saya akan duduk depan TV dan tengok drama pukul 7,” katanya lagi.

Fasih BM

Dalam pada itu, Leona turut berkata dia sangat fasih bertutur dalam Bahasa Melayu ketika itu disebabkan menonton lakonan pelakon-pelakon lelaki tersebut.

“Terima kasih kepada lelaki-lelaki ini sebab Bahasa Melayu saya sangat bagus ketika itu. Ibu saya macam, ‘kenapa awak boleh tiba-tiba bercakap dalam Bahasa Melayu sangat bagus?’.

“Saya beritahu sebab bila ibu hantar ke pusat tusyen, saya tengok drama Melayu,” ujarnya.

#Fattah Amin #Hisyam Hamid #Gambit Saifullah #Kasih Iris Leona #Crush #Leona #Childhood Crush #Shahiezy Sam