Hiburan
Fazura Akui Sudah Dapat 'Key' Yang Betul Untuk Menyanyi
Pelakon dan penyanyi Fazura akui sudah menjumpai key yang sesuai dengan suaranya.
Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin, 34, berkata sebelum ini dia terlalu memaksa diri untuk menyanyi lebih daripada keupayaan sebenar sehingga menggunakan key yang salah ketika bernyanyi.
"Saya sudah jumpa key yang betul untuk menyanyi sekarang.
"Saya dapat key itu selepas berjumpa dengan beberapa komposer yang mengatakan saya menyanyi menggunakan key yang salah.
"Mereka menasihatkan saya supaya jangan terlalu memaksa diri melebihi keupayaan ketika menyanyi.
"Menurut mereka ketika menyanyi saya tidak perlu menjerit untuk buktikan sesuatu. Setiap orang ada kelebihan suara tersendiri.
"Jadi saya akui saya telah menyanyi mengikut key yang salah ketika merakamkan lagu Sayangi Dirimu sebelum ini," katanya kepada Astro Gempak.
Terdahulu, Fazura pernah beberapa kali dikritik tentang nyanyiannya terutama ketika membuat persembahan secara langsung di acara Perlumbaan Grand Prix Malaysia (GP) Formula Satu (F1) di litar Sepang, tahun lalu.
Fazura berkata dia berterima kasih kepada pihak yang cuba memalukan dan mengkritiknya sebelum ini kerana ia telah memberi lebih semangat untuk memperbaiki nyanyiannya.
"Sebelum ini saya ada juga rasa marah mengapa orang perlu viral (video nyanyiannya) bahagian yang tak 'ok'.
"Tapi tak mengapalah, kini saya ingin mengucapkan terima kasih sahaja kepada yang berniat memalukan saya serta mengkritik nyanyian saya kerana apa yang berlaku telah membuat semangat saya lebih kuat.
"Saya percaya bila kita dilanda dugaaan seperti ini kemudian kita redha, kelak Tuhan akan memberi sesuatu yang lebih baik untuk kita," katanya lagi.
Mengenai perkembangan lain, Fazura kini merupakan artis eksklusif syarikat rakaman Universal Music Malaysia.
Sebagai permulaan, dia telah pun tampil dengan sebuah single duet bersama juara program The Voice Filipina iaitu Jason Dy menerusi lagu Nothing Like Pag Ibig.
Teks oleh Syafiqah Jalal
Must-Watch Video