Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Fesyen Berbungkus 'Menghelip' Undang Kritikan, Che Ta; "Saya Boleh Bernafas, Cuma Tak Boleh Pegang ..."

Amri Hassan
25/11/2021 04:50 MYT
Kehadiran Rozita Che Wan atau Che Ta sebagai 'muse' pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail di Kuala Lumpur Fashion Awards (KLFA) 2021 petang semalam di sebuah hotel terkemuka tanah air mencuri tumpuan ramai.

Mana tidaknya pelakon dan ahli perniagaan sensasi itu sanggup berfesyen dengan menutup mukanya dengan kain jaring atau 'net' yang ditinta dengan batu berlian berwarna perak sepanjang majlis berlangsung.

Ironinya, ibu kepada tiga cahaya mata itu antara yang sentiasa menjaga penampilan dan bersolek cantik ketika berada di depan khalayak mahupun berkongsi kandungan gambar atau video di Instagram.

A post shared by Rozita Che Wan (@rozitachewan1)


Rata rata melihat penampilan Che Ta dan Ezuwan menutup seluruh tubuh termasuklah bahagian muka mereka saling tak tumpah seperti gaya selebriti Hollywood, Kim Kardashian dan Kanye West.

Tak kurang juga melihat gaya itu seperti melemaskan. Malah komen berbunyi tak lemas ke pakai macam itu juga kelihatan di ruangan komen media sosial kedua mereka. Bahkan ramai terkejut kerana Che Ta yang selama ini selesa menunjukkan wajah bersolek buat kali pertama menutupi raut wajahnya ibarat Kim K Versi Muslimah.

Che Ta berkata, dia bersetuju untuk menjadi 'muse' atau 'plus one' (pasangan Ezuwan) kerana banyak sebab selain melihat ia satu pengalaman berbeza seiring dengan era pandemik menuju endemik ini.

"Kami memang berkawan baik. Malah saya rasa permintaannya untuk berfesyen macam ini bukan selalu atau seperti lazimnya. Jadi kenapa saya nak menolak. Ia satu kelainan.

"Lagipun pelitup muka itu menggunakan kain jaring yang ada terang terang ada lubang atau 'udara'. Memanglah saya boleh bernafas. Kalau guna kain yang bertutup semua tanpa ada 'udara', saya sendiri fikir banyak kali. Barangkali semput juga saya jadinya.

"Cuma sedikit mencabar saya harus kekal dengan gaya sebegitu sepanjang majlis. Tetapi sesekali orang tak payah tengok muka kita dalam acara seumpama itu, why not. Telefon bimbit pun saya terpaksa abaikan ketika majlis berlangsung," katanya yang turut menjadi penyampai trofi pada acara itu.

Sementara itu, Ezuwan yang sudah lapan tahun mengukuhkan jenama fesyennya percaya dan yakin Che Ta mampu 'carry' ilham dan imaginasi rekaannya pada acara yang turut mendapat kerjasama jenama Lexus itu.

"Apabila diundang ke acara itu, nama Che Ta terlintas dan pantas bermain di minda. Cuma apabila dia bersetuju nak tutup wajahnya saya sendiri tak menyangka.

"Semua tahu, dia antara selebriti yang mengutamakan penampilan diri dengan wajah siap bersolek cantik. Tapi dia jenis yang tak banyak songeh dan sempoi.

"Tiada istilah meniru atau dibayangi sesiapapun. Fesyen ini pendek kata kenalah dengan musim pandemik," kata bapa kepada dua cahaya mata itu.

Che Ta menyarung gaun moden rona hitam rekaan pereka berkenaan menggunakan fabrik jenis tulle dijahit penuh dengan lebih 5000 butir batu berlian dan 'chunky bead'. Baju bertatah berlianlah ibaratnya.

Gaun berharga RM50,000 itu dikatakan memakan masa selama sebulan untuk disiapkan kerana serba serbi 'hand made' atau jahitan tangan. Sarung tangan dan pelitup muka rona sama masing masing menggunakan 'net' juga bertatah berlian berwarna perak.

Bahkan, Ezuwan sendiri juga tak kalah dengan sut hitam berharga RM40,000 menggunakan fabrik broket dilengkapi 10,000 butir batu 'chunky bead' dan berlian jahitan tangan. Fabrik 'net' pelitup muka dan sarung tangan juga bertatah batu jenis sama.

Sebelum ini, Janna Nick yang baru dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH)ke-34 juga tampil dengan gaya seakan sama di samping kekasih hatinya Dini Schatzmann yang turut memakai penutup muka seakan-akan karakter di dalam filem Korea popular, Squid Game ketika menghadiri acara itu.

BACA: "Takda Idea Ke Tiru Kim K?" - Penampilan Bertopeng Janna Nick Curi Tumpuan Netizen

Acara KLFA yang berlangsung di Hotel Shangri La itu turut dihadiri lebih 80 orang pereka fesyen di samping selebriti ternama lain.

Kategori dipertandingkan dalam KLFA turut menyaksikan warga kreatif industri fesyen dihargai termasuklah pereka Alia Bastamam, jurusolek Khir Khalid serta ramai lagi.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!



#Viral #Fesyen #Rozita Che Wan #Janna Nick #Ezuwan Ismail #Kim K #Bungkus #RCW
;