Sambutan filem 18 Puasa Di Kampong Pisang terus menunjukkan perkembangan mantap apabila berjaya meraih kutipan RM2 juta dalam tempoh enam hari di platform Astro First.

Menurut Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, pihaknya dan pengarah Mamat Khalid bersyukur filem 18 Puasa Di Kampong Pisang mendapat sambutan luar biasa.

“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penonton yang telah menonton di Astro First. Setinggi-tinggi penghargaan juga buat barisan pelakon dan kru yang telah menjayakan 18 Puasa Di Kampong Pisang sehingga ia menjadi satu fenomena dan mempunyai simbolik tersendiri yang sinonim dengan bulan puasa.

“Selepas ini jika kita sebut nama Barkoba, saya yakin pasti ramai yang terus mengaitkan dengan orang tidak berpuasa dan bulan Ramadan, manakala ‘plastik hitam’ simbolik francais 18 Puasa Di Kampong Pisang.

“Kejayaan ini diharap dapat menjadi pemangkin dalam industri filem tempatan untuk terus bergerak ke depan meskipun dalam era normal baharu bagi tayangan filem.” ujarnya menerusi satu kenyataan.

Jika sebelum ini watak Barboka menjadi bualan penonton, memasuki minggu kedua tayangan, ia menyaksikan watak baru yang diperkenalkan dalam francais tersebut, iaitu Tyson 2 lakonan Jaafar Onn turut menambat hati penonton.

Sementara itu di laman-laman media sosial, ramai yang berkongsi rasa terkesan dengan mesej yang disampaikan selepas menontonnya.



Filem 18 Puasa masih mengekalkan pelakon Kampong Pisang Bersiri-siri antaranya Barkoba (Bell Ngasri), Pak Din (Kazar Saisi), Pak Karim (Mat London), Pak Jabit (Aziz M Osman), Cik Purnama (Dewa Sapri), Daud M (Joey Daud) Faguha Jabar (Rashid Othman), Ahmad Yasin (Ahmad Yasin) dan Yah Kuchei (Afea Deana).

Selain itu, filem ini turut dimeriahkan dengan penampilan karakter istimewa seperti Tyson 1 (Namron), Tyson 2 (Jaafar Onn), Kiambang (Siti Elizad Mohamad Sharifuddin), Ustaz Kazim (Datuk Ustaz Kazim), Ayahanda Rani Kulop (Rani Kulop), Manap Sengau (Yeop Hitler), Penjaga Neraka (Man Raja Lawak) dan ramai lagi.

Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang mengisahkan sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran di bulan Ramadan.

Ketika Barkoba menikmati makanan di siang hari dalam semak samun, dia telah didatangi si iblis yang membawanya kembali ke masa silam untuk mengimbau setiap tindak tanduk kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya.

Tonton filem komedi sarat mesej ini Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 mulai 15 April 2021.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.