Perkhidmatan penstriman dari Amerika Syarikat iaitu Shudder yang dikendalikan oleh AMC Network dilaporkan telah memiliki hak cipta ke atas filem seram tempatan arahan Dain Said berjudul Harum Malam.

Filem ini diterbitkan oleh Apparat, dan buat pertama kali bekerjasama dengan D’Ayu Pictures serta Skop Productions.

Harum Malam turut mendapat slot tayangan perdana antarabangsa (Festival World Premiere) di Fantastic Fest iaitu sebuah festival filem bergenre seram fantasi terbesar di Amerika Utara yang telah berlangsung di Austin, Texas pada 22 hingga 29 September lalu.

Difahamkan, Shudder juga memperoleh hak cipta untuk United Kingdom (UK), Ireland, Australia dan New Zealand melalui perjanjian dengan XYZ Films dan merancang untuk menayangkan filem tersebut secara eksklusif secara strim pada 2023.

A post shared by Remy Ishak (@remyishak)

Memetik laporan Deadline, Pengurus Besar Shudder, Craig Enfler menyifatkan Harum Malam sebagai sebuah nashkah yang istimewa. Malah dia turut teruja untuk menayangkan filem berkenaan pada tahun hadapan.

“Salah satu filem paling menakutkan tahun depan, Harum Malam adalah sejenis filem hantu yang istimewa. Kami sangat teruja untuk membawa suara berani pengarah Dain Said ke perkhidmatan itu, dan menjadikan Harum Malam sebagai Shudder Original pertama kami dari Malaysia,” katanya.

Harum Malam dibintangi pelakon tanah air seperti Bront Palarae, Remy Ishak, Nadiya Nissa, Nabila Huda, Amanda Ang, Joey Daud and Faizal Hussein. Malam filem ini turut memperkenalkan bakat-bakat baharu seperti Idan Aedan, Arnie Shasha dan Angelica Petra.

Sinopsis

Berkisarkan pergelutan hidup Iqbal, seorang remaja dan pelatih perubatan tradisional yang mampu melihat makhluk yang ghaib pada mata kasar manusia. Keupayaan luar biasa ini mengakibatkan Iqbal sering diganggu makhluk dan ancaman dari dunia alam ghaib sehingga sukar untuk Iqbal membezakan antara realiti dan ghaib. Satu peristiwa telah menyebabkan rakan-rakan dan keluarga Iqbal terdedah dengan makhluk ghaib yang amat merbahaya. Tanpa mempunyai pilihan, Iqbal terpaksa menggunakan kebolehan istimewa ini untuk melawan makhluk tersebut.

Sumber - Deadline

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini.
Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!