Setelah berjaya menerusi filem Aladdin, Disney bakal meneruskan filem live action yang diadaptasi daripada animasi terbitan mereka.

Terbaharu, filem ‘Mulan’ live action bakal menemui penonton tidak lama lagi apabila pihak Disney telah mengeluarkan trailer terbaru filem itu.

Trailer berdurasi kurang dua minit itu menunjukkan Mulan, seorang gadis manis berjiwa kental yang lebih memilih untuk berperang daripada berkahwin dengan lelaki aturan keluarganya.

Peranan utama sebagai Mulan digalas oleh aktres handal bernama Liu Yifei.

Berdarah kacukan Amerika Syarikat dan berasal dari China, Liu Yifei memiliki keterampilan bela diri yang layak menempatkan dia di posisi Mulan.

Memulakan kariernya pada tahun 2002, pelakon yang turut bergelar seorang penyanyi dan model itu dilahirkan dalam keluarga berdarah seni.

Ibunya merupakan seorang penari profesional manakala ayahnya adalah pengajar subjek Bahasa dan Budaya Perancis di Universiti Wuhan.

Selain ‘Mulan’, Yifei pernah tampil dalam beberapa filem popular lain seperti ‘The Assassins’, ‘Night Peacock’, ‘Once Upon a Time’ dan ‘The Chinese Widow’.

‘Mulan’ mengisahkan pahlawan wanita Hua Mulan yang telah menyamar sebagai lelaki supaya dia dapat mengambil alih tempat bapanya dalam tentera.

Di media sosial, rata-rata netizen teruja dan tidak sabar menantikan kemunculan filem ini tahun depan.


Filem ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Donnie Yen, Jason Scott Lee dan Yoson An

Peminat Mulan boleh menonton ‘Mulan’ live action di pawagam bermula 27 Mac 2020.