Suami kepada penyanyi, Heliza Helmi iaitu Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman menafikan dakwaan pemilik akaun Pseudoscience Watch yang menuduh dirinya seorang scammer.

Mahadi menerusi satu kenytaan rasmi di akaun Facebook miliknya mengatakan bahawa dakwaan tersebut adalah palsu dan bertujuan untuk memburukkan namanya.

“Kenyataan rasmi mengenai tuduhan fitnah Pseudoscience Watch melalui laman Facebook bertarikh 28 April 2023 terhadap saya dan produk Kankyo Energy Berhad.

“Saya merujuk kepada perkara di atas dan ingin menjawab terhadap segala tuduhan-tuduhan palsu, tidak benar, berniat jahat dan merupakan satu fitnah terhadap saya di mana kononnya saya telah melakukan scam kepada orang awam melalui produk syarikat iaitu KANKYO ENERGY dengan tuduhan bahawa produk syarikat tersebut adalah 100% ponzi skim dan/atau money scam 100% berasaskan riba yang dibuat oleh PSEUDOSCIENCE WATCH melalui laman Facebook bertarikh 28 April 2023.

“Kenyataan fitnah dengan niat jahat bagi menjatuhkan imej dan reputasi syarikat serta bersifat serangan peribadi terhadap saya dengan cara menyebarkan fitnah dan kenyataan tidak benar dan palsu kepada orang awam yang dibuat oleh pihak PSEUDOSCIENCE WATCH adalah seratus peratus tidak benar dan palsu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mahadi juga mendedahkan bahawa pihak yang menuduhnya itu tidak pernah menghubunginya untuk mendapatkan pengesahan mengenai produk Kankyo Energy.

“Pihak PSEUDOSCIENCE WATCH tidak pernah menghubungi saya dan/atau pihak syarikat untuk mendapatkan pengesahan atau verifikasi mengenai produk KANKYO ENERGY.

“Tetapi telah dengan tanpa usul periksa dan melakukan siasatan terperinci telah melemparkan pernyataan palsu dan tuduhan-tuduhan tidak benar kepada saya seperti di dalam laman Facebook tersebut. Malah saya telah dituduh melakukan scam terhadap orang awam.

“Saya dengan ini ingin mengesahkan bahawa produk Kankyo Energy Berhad adalah satu produk inovatif yang sah mengikut undang-undang dan pelaburan ini memiliki Sijil Patuh Shariah yang dikeluarkan oleh Amanie Advisors Sdn Bhd yang merupakan sebuah syarikat yang mempunyai kredibiliti tinggi,”maklumnya.

Dalam kenyataan yang sama, Mahadi menegaskan dia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang atas tuduhan berbaur fitnah tersebut.

“Laman Facebook ini juga dengan niat jahat dan sengaja cuba menganggu dan menjatuhkan kredibiliti, integriti dan operasi syarikat yang telah berkecimpung dalam hub industri kewangan sejak 20 tahun yang lalu.

“Serangan jahat ini juga merupakan suatu serangan peribadi terhadap saya di mana saya telah dikategorikan sebagai seorang scammer di bawah media social rasmi mereka.

“Tindakan dan perbuatan fitnah ini telah mencemar dan menjejaskan reputasi dan nama baik saya sebagai seorang usahawan Muslim yang berjaya di peringkat dalam negara dan luar negara.

“Saya telah dituduh membawa perwatakan Islamik untuk menipu orang awam.

“Hebahan melalui Facebook ini telah menyebabkan kerugian yang teruk bagi pihak saya dan syarikat saya di mana saya telah dihujani dengan pertanyaan daripada klien syarikat dan ramai pihak yang lain.

“Oleh yang demikian, saya telah mengarahkan staf saya untuk membuat laporan polis terhadap pihak PSEUDOSCIENCE WATCH.

“Di samping itu, saya dengan ini memberikan ultimatum kepada pihak PSEUDOSCIENCE WATCH untuk memadam pernyataan fitnah ini dari laman Facebook mereka dalam tempoh masa 24 jam.

“Sekiranya pihak PSEUDOSCIENCE WATCH gagal untuk memadam pernyataan fitnah ini dalam tempoh masa tersebut, maka saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak PSEUDOSCIENCE WATCH termasuk memohon untuk ganti rugi dan saman malu,” tegasnya.

Di bawah merupakan kenyataan penuh Mahadi: