GAYA HIDUP
#FoodiesLife: Ayam Gepuk Pak Gembus Lakar Sejarah Terima 5 Anugerah Malaysia Book of Records
Ayam Gepuk Pak Gembus Malaysia (AGPGM) melakar sejarah apabila menjadi jenama ayam gepuk pertama yang menerima lima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).
Ketua Pegawai Operasinya, Zulkarnain Mohd Yusof berkata, pencapaian itu termasuk jenama ayam gepuk pertama di Malaysia dan diperakui halal, rangkaian makanan ayam gepuk terbesar, nilai jualan tertinggi ayam gepuk dalam setahun dan jumlah ayam gepuk terjual terbanyak dalam setahun.
“Penerimaan pengiktirafan daripada MBOR bukan sekadar satu pencapaian tetapi tanggungjawab besar kepada pengguna dan industri. Ia bukan sekadar simbol kejayaan malah penghargaan kepada setiap titik peluh demi memastikan jenama ini terus maju.
“Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa rakan niaga, pembekal dan pelanggan yang telah bersama-sama menyokong kami sejak awal,” katanya ketika Majlis Penyampaian Anugerah The Malaysia Book of Records, AGPGM baru-baru ini.
Hadir merasmikan majlis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan turut dihadiri, Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Datuk Indera Hermono di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya.
.jpg)
BERITA TRENDING: Maleeq Dragster Diiktiraf Malaysia Book of Records! - "Dia Memang Kanak-Kanak Kuat Semangat"
BERITA TRENDING: Program Thaipusam Terbitan Astro Dianugerahkan Malaysia Book of Records
BERITA TRENDING: Nombor Syatu! Elly Mazlein Terima Pengiktirafan Malaysia Book Of Records!
Pensijilan halal
Sementara itu, Zulkarnain berkata, pengiktirafan itu membuktikan kepada pelanggan bahawa piawaian terbaik dan halal sentiasa menjadi keutamaan dan dipraktikkan dalam penyediaan makanan.“Pensijilan halal diterima baru-baru ini juga membuktikan komitmen kami dalam menyediakan makanan selamat, bersih, dan berkualiti tinggi kepada pelanggan. Ia juga membantu mengangkat nama Malaysia sebagai hab halal global yang dipercayai.”
“Dengan adanya pensijilan halal, jenama AGPGM bukan sahaja dapat memenuhi keperluan pasaran tempatan tetapi juga berpotensi untuk berkembang ke peringkat antarabangsa, sejajar dengan aspirasi negara untuk menjadi pusat rujukan halal dunia,” ujar beliau.
Tambah cawangan
Tambahnya, AGPGM bertekad untuk terus memperluaskan operasinya, menawarkan lebih banyak inovasi dalam menu dan menyumbang kepada industri halal Malaysia yang semakin berkembang pesat.“Dengan lebih 800 cawangan di Indonesia dan hampir 100 di Malaysia, Ayam Gepuk Pak Gembus kini memperkukuhkan kedudukannya untuk memenuhi permintaan pelanggan di pasaran utama, termasuk Sabah dan Sarawak.
“Ayam Gepuk Pak Gembus juga sedang merancang pembukaan outlet antarabangsa pertamanya di luar Malaysia, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam strategi pengembangan kami di peringkat global,” katanya.
Dalam pada itu, jenama berkenaan turut memperkenalkan produk terbaharunya iaitu Sambal Kemiri yang dilancarkan secara eksklusif kepada tetamu yang hadir.
“Produk inovatif ini merupakan tambahan baharu dalam keluarga Pak Gembus, berbeza daripada sambal ikonik yang disajikan di restoran. Ia direka khas untuk membawa rasa asli ‘PG by Pak Gembus’ terus ke dapur pelanggan.
“Dalam masa terdekat, Sambal Kemiri akan tersedia untuk pembelian melalui platform e-dagang seperti Shopee dan TikTok Shop. Pelanggan digalakkan untuk mengikuti ‘PG by Pak Gembus’ di kedua-dua platform ini bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai pelancaran rasmi serta promosi istimewa,” ujarnya.
Must-Watch Video