Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

#FOODIESLIFE: Ini Sebab Kenapa Restoran Berputar Menara KL Diarah Henti Operasi

Gempak
23/12/2023 12:55 MYT
Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) mendedahkan tindakan pengosongan premis terhadap sebuah restoran ‘berputar’ terkenal, dibuat selepas perjanjian penyewaan yang dimeterai, telah tamat tempoh pada Jun lalu.

Menerusi satu kenyataan media, pihak MKLSB berkata, sebelum ini, Asian Kitchen (M) Sdn Bhd (AKSB) telah memeterai perjanjian untuk mengendalikan perniagaannya, termasuk Atmosphere 360 ​​dan Café 360 dengan MKLSB, yang mana kontrak itu akan tamat tempoh pada 31 Disember 2022.

BERITA TRENDING: Siti Nurhaliza Cipta Dua Rekod Dalam Masa Satu Hari, Memang Mega!

Dua bulan sebelum tamat kontrak iaitu 10 Oktober tahun sama, MKLSB berkata, makluman awal disampaikan kepada AKSB bahawa penyewaan premis itu tidak akan diperbaharui dan ia akan tamat pada tarikh sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini.

Katanya, AKSB kemudiannya merayu supaya lanjutan sewaan itu dapat dibuat, dan MKLSB bersetuju serta membenarkan syarikat itu menjalankan perniagaan sehingga 30 Jun lalu.

Bagaimanapun katanya, pada 9 Jun lalu, AKSB memfailkan injuksi untuk menghalang MKLSB daripada menguatkuasakan haknya sebagai pemilik, tetapi Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan itu pada 27 Jun.

Susulan itu, setelah tamat tempoh penyewaan pada bulan Jun, MKLSB telah meminta AKSB mengosong premis namun ia tidak diendahkan.

"Walaupun AKSB telah menyalahi undang-undang bermula 1 Julai, MKLSB tidak sekali pun mengganggu operasi dan pengurusan Atmosphere 360 ​​dan Café 360," katanya.

MKLSB ingin menekankan bahawa, semua langkah yang diambil dalam menyelesaikan isu penyewaan ini, dilakukan dengan undang-undang dan prosedur sedia ada.

Katanya, laporan yang dikeluarkan pihak media sebelum ini, kurang tepat kerana pihak mahkamah telah mengeluarkan writ pemilikan, penyitaan dan penjualan, supaya, Atmosphere 360 ​​& Café 360 supaya tidak lagi beroperasi di menara itu.

"MKLSB amat kesal dengan kejadian pada Khamis, kerana ia menyebabkan ketidakselesaan pengunjung dari dalam dan luar negara.

"Bagaimanapun, sukacita dimaklumkan bahawa seluruh Menara KL beroperasi seperti biasa," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, sebuah restoran ‘berputar’ terkenal di menara komunikasi itu, menghentikan operasi mereka sejak Khamis, susulan perintah pengosongan premis oleh Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.

Menurut seorang kakitangannya, restoran Atmosphere 360 itu mengesahkan telah diberi masa selama dua minggu iaitu hingga 4 Januari tahun depan untuk berbuat demikian.

“Peguam MKLSB yang dimiliki Hydroshoppe Sdn Bhd memaklumkan mengenai perintah berkenaan yang dikeluarkan mahkamah.

“Saya tidak mahu ulas panjang kerana isu ini membabitkan perintah mahkamah,” katanya.

Pada 5 April lalu, Hydroshoppe dan seorang pengarahnya didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan atas dua pertuduhan termasuk menawar rasuah RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada seorang ahli perniagaan bagi faedah bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Ia bertujuan mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL.

Bagaimanapun, Pengarah Hydroshoppe, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terbabit dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Suzana Hussain dan Rozina Ayob.

BERITA TRENDING: Siti Nurhaliza Umum Konsert Tahun Depan, Netizen Mahu Venue Lebih Mega! - "Kenapa Tidak SNBJ Atau Buat 2"

Mengikut pertuduhan, Hydroshoppe melakukan kesalahan kerana seseorang yang bersekutu dengannya iaitu Abdul Hamid Shaikh secara rasuah menawarkan wang RM500,000 setahun selama tempoh itu kepada Datuk Tan Ser Lay, 60, bagi faedah Annuar dengan niat untuk memperoleh perniagaan iaitu pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL.

Abdul Hamid Shaikh pula berdepan tuduhan menawarkan kepada individu sama suatu suapan iaitu RM500,000 dalam tempoh sama, sebagai dorongan kepada bekas menteri itu melakukan suatu perkara dicadangkan iaitu mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL oleh Hydroshoppe.

Sumber: Sinar Harian

#Menara KL #FoodiesLife #Restoran berputar
;