Pelakon dan penerbit Datuk A Aida mengakui mengalami kerugian hampir RM 70,000 selepas kereta Ford Mustang yang dipandunya terbabas.

Menurut Aida, sehingga kini keretanya masih berada di bengkel untuk dibaiki dan dia sekeluarga masih trauma dengan kejadian tersebut.

"Sehingga kini saya masih trauma dengan kemalangan yang berlaku kerana itu merupakan insiden pertama dalam hidup saya sejak mula memandu ketika berusia 20 tahun.

"Ketika kejadian saya cuma memandu dalam kelajuan 50 kilometer sahaja dan tidak tahu bagaimana kenderaan saya boleh hilang kawalan hingga terlanggar pembahagi jalan kiri dan kanan.

"Kos untuk membaiki kenderaan tersebut mencecah hampir RM70,000 kerana yang mahal untuk dibaiki semula adalah beg udara kereta.

"Namun, itu semua anggaran yang diberikan pada saya kerana saya masih belum mendapat harga sebenar tentang jumlah kerosakan yang dialami," katanya ketika dihubungi Gempak.

Tambah Aida, dia tidak mempunyai perancangan untuk menjual kenderaan tersebut kerana telah melakukan pelbagai modifikasi.

"Buat masa sekarang saya masih tiada perancangan untuk menjual kenderaan tersebut kerana sejak membelinya tiga tahu lalu saya sudah lakukan pelbagai modifikasi.

"Kenderaan tersebut banyak berjasa pada saya, jadi biarlah saya gunakan kembali selepas kereta itu siap dibaik pulih," ujarnya.

Terdahulu, kereta Ford Mustang yang dipandu Aida terbabas di Kilometer 390, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Ajil, Terengganu, ketika dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Jertih kerana kematian kakak sulung Jumaat lalu.

Akibat kemalangan yang berlaku, Aida tidak sempat pulang ke kampungnya untuk melihat jenazah arwah kakaknya buat kali terakhir.