[FOTO] Bella Nazari Kahwini Duda Anak Satu... "Dia Bekas Kekasih Saya, Tak Sangka Bertemu Semula Selepas 10 Tahun"

Amri Hassan
Mac 9, 2020 00:38 MYT
Pelakon dan penyanyi Bella Nazari telah selamat mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya, Iqbal Kamarudin pada 11 pagi Ahad.
Dengan sekali lafaz, Bella, 33, dan Iqbal, 37, selamat bergelar pasangan suami isteri.
Pada majlis yang berlangsung di sebuah hotel di Perlis, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin bernilai RM2,000 dan lima dulang hantaran berbalas tujuh.
"Sudah nama pun jodoh. Dahulu bukan main nak elak berkahwin dengan lelaki sealiran seni. Akhirnya yang tak mahu itu juga datang merapati.
"Hingga kini, saya masih tak percaya semua ini terjadi. Dalam hati ingat akan kahwin dengan lelaki berusia, jadi isteri ketiga atau keempat.
"Maklumlah usia saya mencecah 33 tahun baru bertemu jodoh," katanya kepada BH Online.
Bella dan Iqbal yang merupakan duda anak satu itu berkenalan ketika sama-sama mengikuti pengajian di sebuah universiti.
"Dia (Iqbal) adalah bekas kekasih saya. Tidak sangka selepas 10 tahun membawa haluan masing-masing, kami bertemu semula.
"Dia sentiasa berusaha menggembirakan saya. Setiap kali berdepan tekanan, dia akan berusaha membuat saya kembali tersenyum," katanya.
Pasangan itu bertunang pada 26 Oktober tahun lalu dan majlis resepsi berlangsung meriah di Perlis pada malam Ahad.
Sumber: BH Online
#pelakon #Kahwin #Kahwin #. #Pelakon #Bella Nazari