Pelakon Allahyarham Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy telah selamat dikebumikan di tempat Pemakaman Waqaf Pasar 4 Klambir Lima Kampung, Medan, Indonesia pada jam 11 pagi waktu Indonesia pada Isnin.

Kata adik bongsu Allahyarham, Inessa Irdayanty, proses pengebumian arwah disaksikan mereka sekeluarga menerusi panggilan video di aplikasi WhatsApp.

"Alhamdulillah, jenazah Ben telah selesai dikebumikan lebih kurang pukul 12.45 tengah hari waktu Malaysia. Kami dapat saksikan pengebumian menerusi panggilan video di WhatsApp daripada penjara.

"Pihak penjara juga memaklumkan kepada kami bahawa mereka menanggung kos pengebumian tersebut.

"Kami sekeluarga sangat berterima kasih dan terhutang budi dengan Penjara Tanjung Gusta Medan atas setiap bantuan dan urusan berkenaan Benjy," kata Inessa.

Tambah Inessa, pihak yang berhasrat untuk menghulurkan derma boleh menyalurkannya kepada pertubuhan amal pilihan atas nama Benjy.

"Terima kasih kepada semua yang menawarkan untuk menderma bagi membantu kos bayaran pengebumian.

"Jika anda berhasrat untuk menderma, saya harap anda dermalah di pertubuhan amal pilihan anda atas nama Ben dan sedekahkan Al-Fatihah," katanya.

Arwah Benjy, 43, telah meninggal dunia akibat penyakit asma pada Ahad di Hospital Besar Royal Prima, Medan, Indonesia.

Arwah menghidap penyakit asma yang kronik sejak beberapa tahun lalu selain mengalami masalah berkaitan paru-paru.

Untuk rekod, Benju ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu, Deli Serdang Sumatera Utara oleh pihak Kastam dan Eksais Indonesia sejurus tiba dari Kuala Lumpur pada April 2017.

Anak sulung pelakon Allahyarham Azean Idrawaty itu disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 4.5 gram yang disembunyikan pada bahagian duburnya.

18 Oktober 2017, Benjy dijatuhkan hukuman penjara selama 11 tahun tiga bulan apabila didapati bersalah oleh Mahkamah Daerah Medan, Indonesia.