Francais filem blockbuster nombor satu tanah air hadir bentuk drama bersiri premium menerusi jenama ‘Astro Originals, bertajuk Kampong Pisang Bersiri-Siri.

Berikutan lima francais francais Kampung Pisang sebelum ini telah merekodkan kejayaan membanggakan dengan kutipan pecah panggung dengan jumlah keseluruhan RM56.9 juta, Astro mengambil inisiatif untuk membawa francais komedi terbesar dan popular tanah air ini dalam bentuk drama siri premium, istimewa buat pelanggan Astro.

Masih berlatarbelakangkan Kampung Pisang, drama siri berdurasi satu jam ini menghimpunkan barisan watak komedi daripada francais terdahulu antaranya, Pak Jabit dan Husin daripada filem Zombi Kampung Pisang, Kak Limah (Hantu Kak Limah), Cik Purnama, Chomprak, Joko Anuar, Pembantu Perubatan (Hantu Kak Limah Balik Rumah) dan penampilan watak Barkoba daripada 16 dan 17 Puasa.

Malah, turut memperkenalkan watak sampingan baru seperti Pak Kasim, Pak Din ‘Pest Control’, Pak Karim dan Cik Chun.

Bagi watak penduduk tetap Kampung Pisang, ia akan dijayakan oleh Kazar Sairi, Bell Ngasri, Dewa Sapri, Aziz M. Osman, Mat London, Avaa Vanja, Nazeera Sardi dan ramai lagi.



Tambah menarik, penonton boleh turut menyaksikan penampilan khas barisan selebriti popular tanah air seperti Datuk Awie, Hazama, Ellie Suriaty, Pekin, Delimawati, Ozlynn Wati, Joey Daud dan ramai lagi secara bergilir-gilir pada setiap minggu sepanjang 12 episod siri ini bersiaran.

Diarahkan oleh Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-21, Mamat Khalid memaklumkan francais Kampong Pisang ini amat istimewa dihatinya.

“Saya percaya ada sebahagian penonton yang turut membesar dengan filem-filem ini. Sejak tahun 2007 karya ini diperkenal, saya ingin menzahirkan satu kelainan khususnya kepada mereka yang setia menyokong, justeru saya gabungkan hampir kesemua watak filem ke dalam siri ini.

“Selain dari itu, penonton juga akan disajikan dengan jalan cerita, elemen komedi, hantu dan kameo yang berbeza di setiap episod.

“Kampong Pisang Bersiri-Siri juga dianggap sebagai satu cabaran baru buat saya kerana ini merupakan pertama kali saya mengarahkan drama bersiri, namun begitu perlu mengekalkan kualiti dan ‘end result’ setanding filem,” ujar Mamat menerusi satu kenyataan yang dihantar.

Bagi Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, jika sebelum ini peminat Universe Kamung Pisang harus menunggu setiap dua tahun sekali, tetapi kini mereka dapat menonton filem setiap minggu dan ia dapat memberi kepuasan tontonan buat pelanggan Astro.

“Kampong Pisang Bersiri-Siri menggabungkan konten segar, kualiti terbaik dan membariskan bakat-bakat kreatif di depan dan di belakang lensa kamera.

“Astro buat julung kalinya membawakan drama premium daripada francais filem komedi nombor satu Malaysia, Kampung Pisang, dalam bentuk rantaian siri namun memiliki kualiti setanding karya filem.

“Secara tidak langsung, penonton dapat berhibur lebih lama sepanjang 12 minggu berturut-turut, menikmati lebih drama, lebih seram, lebih kelakar dan kemunculan lebih ramai pelakon- pelakon hebat dan popular,” ujarnya.

Kampong Pisang Bersiri-Siri bakal menemui penonton mulai 7 Disember ini, setiap hari Isnin, jam 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD).