“Seperti menonton babak perlawanan sebenar!”

Pasti itu yang akan terdetik selepas anda menonton filem terbaru, Olympic Dream mengangkat salah satu sukan paling popular di Malaysia, iaitu badminton.

Lebih mengujakan, filem genre drama dan sukan ini turut menyaksikan penampilan legenda badminton negara seperti Datuk Rashid Sidek, Ong Ewe Hock, Cheah Soon Kit serta bekas pemain kebangsaan, Janice Woon Khe Wei dan Vivian Hoo Kah Mun.

Mereka bukan sahaja menyerlahkan bakat lakonan, tetapi juga mempamerkan kehebatan aksi yang masih berbisa dalam sukan badminton.

Selain itu, filem hasil produksi Full Billion Entertainment ini juga mempertaruhkan gandingan generasi baru dan lama sebagai teraju utama, seperti pelakon Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem & TV Ramsgate di England, Maya Karin; Pelakon Terbaik di Anugerah Golden Awards 2017, Jordan Voon; pelakon filem Hong Kong – Malaysia, adik Annabelle Tan; dan bekas pemain kebangsaan dan kini jurulatih badminton Adelle Ng.
Menariknya lagi, Olympic Dream bukan sahaja memberi tumpuan kepada sukan badminton tetapi dipadatkan lagi dengan konflik dan babak dramatik yang mengajak penonton untuk menghayati perjuangan seseorang dalam usaha mencapai impian, di samping babak-babak mendebarkan ibarat menonton perlawanan sebenar.

Olympic Dream diarahkan oleh pengarah Don Hoe dan idea asal Olympic Dream ini juga adalah daripada sutradara berbakat besar itu sendiri.

Filem Olympic Dream turut menerima pengiktirafan di festival filem antarabangsa, antaranya, Filem Asia Terbaik di Festival Filem New York City IO 2021; Anugerah Khas Juri di Festival Filem Chambal International 2019; Anugerah Kepujian dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem & TV Ramsgate.



Mengulas mengenai filem ini, Don Hoe berkata, karya ini turut menonjolkan keharmonian masyarakat.

“Badminton adalah salah satu sukan popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Secara peribadi, saya membesar dengan menyaksikan kejayaan-kejayaan atlet-atlet Malaysia antaranya di Kejohanan Piala Thomas dan itu mendorong semangat dan nilai perpaduan dalam diri.

Sukan ini telah merapatkan hubungan saya bersama rakan dan jiran tetangga yang berbeza latar usia, bangsa, kaya atau miskin untuk sama-sama menyokong pasukan Malaysia.

“Jadi, saya mengambil elemen sukan tersebut dan ketengahkan menerusi filem. Saya dengan rasa rendah hati berharap filem ini mampu menyuntik rasa bangga dalam diri kita sebagai rakyat Malaysia dengan pencapaian dan kegemilangan yang telah dicipta oleh barisan atlet negara.

Saya juga mengharapkan ia dapat memberi inspirasi kepada semua, tidak kira rakyat Malaysia atau masyarakat dari negara luar untuk sentiasa berusaha dalam mencapai impian sehingga memperoleh kemenangan,” katanya.

Sementara itu Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad turut berkata, filem ini bukan sahaja memaparkan elemen sukan semata-mata,
tetapi memupuk semangat patriotik dan menghargai ‘perjuangan’ individu dalam menjulang nama negara di mata dunia.

Katanya lagi, kehadiran filem ini juga adalah bagi meraikan atlet-atlet negara yang telah mengharumkan nama Malaysia selama ini.

“Rentetan daripada sambutan Hari Malaysia minggu lalu, pihak kami membawakan sebuah filem yang penuh dengan nilai dan semangat cintakan tanah air menerusi Olympic Dream.

“Kami berharap usaha mempersembahkan filem ini kepada masyarakat mampu memacu pembangunan sukan di Malaysia, khususnya badminton yang merupakan salah satu sukan yang menyatukan rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang,” katanya.

Olympic Dream bakal menemui penonton Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 bermula 23 September ini.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.
Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.

Olympic Dream mengisahkan tentang kecekalan seorang anak muda, Wong Anna yang menanam impian sejak kecil dan bercita-cita untuk menjadi pemain badminton kebangsaan.