Laman Utama
#G, The Untold Story: Menghitung Hari Jadi Isteri Kamal Adli, Uqasha Senrose; "Dia Seorang Lelaki Yang ..."
Musim bahagia Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen sedang berbunga mekar. Tahun 2021 bakal menjadi saksi penyatuan kisah cinta bersama pasangannya Kamal Adli. Kamal yang juga seorang aktor telah menyuntingnya lewat tahun lalu. Romansa cinta mereka kian menjadi sorotan.
Saat menjadi sorotan, Uqasha tenang. Ini bukan pertama kali dia 'dikejar kejar'. Kisah cinta dan kariernya sudah lama diperhatikan. Hanya kali ini tidak seperti sebelumnya, bintang drama adaptasi Rindu Awak Separuh Nyawa yang sedang hangat ditayangkan itu punyai perancangannya sendiri.
Ikuti temubual Uqasha bersama #G, The Untold Story menyelami isi hatinya, keterbukaan, persaingan dan kecintaannya dalam dunia seni.
G: Uqasha Senrose, anak seni yang ada pasang surut kariernya. Ada masa panas, ada masa sedang-sedang suhunya. Uqasha sebenarnya mahu menjadi artis yang bagaimana?
UQASHA: Saya cuma nak maintain dan sustain dalam industri dan karier. Biasalah ada naik turun dan pasang surutnya, tapi macam mana cara nak kekal dalam industri itu yang susah orang nak buat. Sebab ramai yang cepat patah semangat dan bosan. Alhamdulillah, minat saya mendalam dalam lakonan dan saya akan teruskan sampai tidak diperlukan lagi.
G: Anda kini hangat dengan drama Rindu Awak Separuh Nyawa. Apa sebenarnya perbezaan terbabit dalam karya ini berbanding banyak lakonan yang pernah dipersembahkan sebelum ini?
UQASHA: Saya tak pernah buat siri panjang sampai 40 episod. Jadi di Rindu Awak Separuh Nyawa ini, banyak graf dan perubahan karakter, daripada budak-budak sampai dewasa dan berkahwin. Daripada kaya ke muflis, hilang keluarga dan suami. Hidup semakin turun dari atas, mungkin itu balasan Tuhan. Watak Maisarah daripada rambut blonde sampai bertudung dan semiskin-miskinnya.
G: Bilakah detik terburuk dalam kerjaya Uqasha sebagai artis dan mengapa?
UQASHA: Tak perlulah nak cerita pasal benda buruk, kalau boleh nak cerita yang baik-baik. Benda buruk jadikan tauladan.
G: Pernah tak timbul perasaan menyesal memilih kerjaya sebagai pelakon? Maklumlah, hidup Uqasha boleh dikatakan 90% di set penggambaran, masa dengan keluarga sangat terhad. Mesti akan ada momen yang Uqasha terlepas.
UQASHA: Tak pernah menyesal langsung memilih kerjaya ini sebab ini yang saya minat dan suka. Tapi biasalah bila masa dengan keluarga amat terhad tapi kita boleh pilih untuk berehat dan meluangkan masa dengan keluarga. Kita yang uruskan jadual sendiri dan atur hidup kita. Memang ada momen terlepas kadang-kadang nak raikan hari jadi adik-beradik atau perkahwinan saudara-mara. Terlepas pula momen dengan sepupu yang betul-betul rapat.
G: Bersediakah Uqasha jika suatu hari nanti akan diberikan watak ibu memandangkan kita sudah melihat anda berjaya membawa peranan dengan banyak karakter yang berjaya. Watak bagaimana yang sebenarnya anda idamkan?
UQASHA: Banyak je diberi watak ibu, tapi ibu kahwin muda. Saya nak cuba sangat action fighter perempuan sebab orang nampak saya sopan dan lemah lembut. Tak! Saya sebenarnya seorang yang agresif dan lincah.
G: Uqasha rasa sampai bila akan menjadi pelakon? Di samping menjalankan bisnes, ada perancangan lain bagi mengukuhkan kehidupan?
UQASHA: Selagi saya berminat berlakon dan orang terima saya sebagai pelakon, bisnes dah cukup untuk mengukuhkan kehidupan. Dalam dunia ni nak apa sangat pun, cuma nak keberkatan dan keluarga, hidup yang selesa. Kalau dapat lebih itu rezeki dari Tuhan.
Kontroversi & Kecantikan
G: Kalau dilihat sekiranya salah seorang 'Senrose' terkena kontroversi, tidak ada yang cepat melatah. Memang itu yang Uqasha, Nelydia & Raysha dah sepakat? Bagaimana kalian mengawal emosi?
UQASHA: Alhamdulillah adik beradik saya, kami bukan mulut lahar yang suka nak balas balik. Kami lebih selesa untuk berdiam diri, tak perlu nak buktikan seluruh dunia siapa salah siapa betul. Bagi saya, cukuplah kalau salah itu datang daripada saya, saya akan ubah. Tak perlu nak beritahu saya betul atau salah.
G: Uqasha tercabar tak dengan pendatang baharu dan Instafamous? Pernah berlakon sama?
UQASHA: Tak tercabar langsung sebab saya mengalu-alukan newcomers, selagi mereka berbakat, tak menyusahkan pandai bawa diri, good attitude, saya tiada masalah langsung. Yang penting hormat! Saya belajar daripada pelakon lama mereka tak tunjuk perangai kerek atau kurang ajar.
Jangan terlalu selesa, kita kena sentiasa menghormati semua orang dan sesiapa sahaja tak kira sesama pelakon, kru atau pekerja belakang tabir. Sebagai seorang manusia kita perlu hormat orang. Kalau mereka boleh berlakon dan tak menyusahkan orang, bagi saya mereka pelapis akan datang. Tetapi, jangan rasa diri itu bagus, saya sendiri pun masih belajar daripada setiap sudut; lakonan, attitude dan hormat orang.
G: Kecantikan Uqasha dikagumi ramai orang. Boleh tak kongsi petua atau amalan yang tak pernah ditinggalkan untuk muka kelihatan sihat walau seharian kat set penggambaran?
UQASHA: Kecantikan ni semua daripada Tuhan, pinjaman daripada Allah. Tiada amalan apa pun, cuma cuci muka selepas habis make up, minum air masak yang banyak dan pergi facial.
Cinta & Kamal Adli
G: Pada pandangan anda, apakah definisi penyatuan dua hati yang sempurna?
UQASHA: Bila sama-sama ada perasaan yang sama-sama suka, sama-sama memahami dan percaya.
G: Sebagai seorang wanita yang semakin matang, bagaimana persediaan Uqasha untuk bergelar seorang isteri? Uqasha pun mengaku akan berkahwin dengan Kamal dalam 3 majlis. Adakah Uqasha menyertai kelas memasak atau belajar ilmu berumah tangga?
UQASHA: Persediaan untuk bergelar isteri akan sendirinya belajar dan pandai. Bila pergi kursus kahwin semua akan diajar, kita buatlah research. Memasak ni selalu saya buat dan boleh belajar. Tak semestinya nak kahwin baru belajar memasak sebab saya pun masih punyai ibu untuk mengajar saya memasak dan semua benda.
G: Siapa Kamal Adli di mata Uqasha yang orang lain tidak tahu?
UQASHA: Dia seorang lelaki yang bertanggungjawab, pelakon yang versatil, caring, loving dan gila-gila fun.
G: Bagaimanakah persiapan Uqasha dan Kamal untuk majlis perkahwinan nanti?
UQASHA: Kami akan adakan tiga majlis iaitu satu untuk keluarga dan rakan-rakan rapat memandangkan lokasi yang kami pilih itu kehadiran tetamu adalah terhad kepada 350 orang sahaja. Untuk majlis kedua, kami akan jemput rakan-rakan artis serta pihak media. Bagi acara ketiga, kami akan undang peminat Uqasha dan Kamal untuk sama-sama meraikan hari bahagia kami.
Setakat ini, alhamdulillah 80 peratus persiapan sudah diselesaikan dan kami mengharapkan doa yang baik-baik daripada anda semua.
G: Persiapan Uqasha menjelang kedatangan bulan mulia Ramadan Al Mubarak? Adakah akan memperlahankan karier seni dan memberikan fokus kepada ibadah?
UQASHA: Mungkin saya takkan ambil apa-apa penggambaran panjang dan fokus pada bisnes serta beberapa hal lain.
Foto: Koleksi Gabriel 2021 Shanell Harun, Uqasha Senrose, Kamal Adli, Swarovski