Laman Utama
#G The Untold Story: Pertama Kali Raikan Hari Ibu & Aidilfitri Sebagai Ibu, Fazura: “Saya Tersentuh & Emosi"
Bergelar ibu merupakan satu fasa yang paling bahagia dalam hidup figura Nur Fazura Sharifuddin. Buah cintanya bersama suami, Fattah Amin yang diberi nama Nur Fatima Aisya telah merubah kehidupan suami isteri ini. Kini, enam bulan dikurniakan sang puteri, Fazura mengaku Fatima adalah keutamaan dalam kehidupannya dan Fattah.
Edisi #G The Untold Story kali ini menyelam perasaan aktres yang telah mencetak banyak sejarah dalam portfolio kehidupannya sebagai anak seni yang kini terlihat begitu bahagia menyandang predikat seorang isteri dan ibu.
Apatah lagi, 2021 menjadi tahun yang bermakna buatnya. Hari Ibu yang jatuh pada tanggal 9 Mei ini menjadi tarikh keramat buat Fazura kerana perdana kali meraikannya sebagai seorang ibu; sebuah pengalaman yang selama ini menjadikan dambaan banyak wanita.
Tidak hanya berbicara mengenai makna Hari Ibu, Fazura turut berkongsi mengenai persiapan Aidilfitri yang dilakukan bersama keluarga tercinta.
G: Selepas bergelar ibu kepada Fatima, apakah makna hari ibu buat Fazura?
FAZURA: Selalunya saya akan meraikan ibu dan mak mertua setiap tahun. Saya ingat lagi, sewaktu kecil saya banyak raikan ibu dengan membeli bunga atau hadiah untuk beliau. Tapi sekarang bila sudah besar baru saya faham sebenarnya masa bersama itu lebih berharga dari segalanya.
Sekarang pula, bila sudah ada Fatima saya jadi semakin mudah tersentuh dan sedikit emosi melihatnya membesar. Sehinggakan saya sudah mula terfikir bagaimana bila Fatima sudah besar, pergi sekolah, berkahwin pula dan tinggalkan saya. Jadi saya rasa masa bersama itu adalah momen paling bermakna untuk ibu.
G: Pertama kali bakal menyambut Hari Ibu, bagaimana sambutannya nanti?
FAZURA: Alhamdulillah, sekarang ibu saya ada bersama saya di rumah. Saya amat bersyuku kerana dapat meluangkan masa bersama. Jadi untuk sambutan Hari Ibu, sudah tentu saya teruja kerana akan meraikannya bersama-sama ibu. Menjadi bonus dan mengujakan juga apabila saya buat pertama kali akan menyambut Hari Ibu sebagai seorang ibu. Pasti ia amat indah!
G: Sebagai ibu, pasti ada momen yang paling indah antara Fazura dan Fatima, boleh kongsikan?
FAZURA: Momen yang paling saya suka bila bersama Fatima adalah apabila dia tidak boleh berenggang dengan saya. Sejak dia lahir…dari hospital lagi saya sudah memangkunya serta memeluknya untuk tidur, jadi sekarang bila dia hendak tidur dia akan cari saya dan mahu saya lakukan perkara yang sama sehingga dia tertidur. Hubungan serta bonding itu yang bermakna dan indah…Saya tak mahu ia hilang begitu sahaja.
G: Ibu adalah insan yang banyak berkorban untuk anaknya, bagi Fazura pula apakah pengorbanan besar yang dilakukan sepanjang membesarkan Fatima?
FAZURA: Pengorbanan yang paling besar apabila tidur malam saya sudah tidak sama seperti dahulu. Saya akan berjaga malam untuk Fatima. Selain itu, berbeza dengan dahulu, kini saya banyak hadkan waktu penggambaran atau lakonan supaya saya mempunyai lebih masa dengan Fatima. Bagaimanapun saya beruntung kerana kebanyakkan produksi yang bekerjasama amat memahami situasi saya.
G: Boleh cerita sedikit bagaimana dengan perkembangan Fatima sekarang?
FAZURA: Perkembangan Fatima sekarang dia sudah banyak mulut dengan membebel bahasa dia lah seperti “mammama..” . Selain itu dia sekarang sudah semakin clingy dan tak mahu berenggang dengan saya. Sekarang kalau lihat dia pun sudah agak tinggi dan tak nampak macam bayi enam bulan, mungkin kerana ikut Fattah seorang yang tinggi.
G: Apakah harapan Fazura untuk Fatima bila sudah besar nanti?
FAZURA: Harapan sudah tentu saya mahu yang terbaik buat Fatima. Saya pun cuba berinya kebebasan untuk membesar dengan caranya sendiri dan tak mahu buat semua keputusan untuk dia nanti. Semua orang pasti sangka dia akan ikut jejak langkah ibu bapanya dalam bidang seni tapi tidak, kerana kami akan memberinya kebebasan untuk memilih apa yang dia suka kerana kami pun tak tahu sama ada dia suka atau tidak limelight seperti kami.
G: Apakah ucapan Fazura sempena Hari Ibu?
FAZURA: Selamat Hari Ibu untuk wanita perkasa di luar sana. Terus berfikiran positif dan jangan rasa kekurangan apa pun kerana anda hebat. Kita hamil dan 'membawa' seorang nyawa dalam badan kita, itu sudah cukup besar pengorbanannya. Dengan apa yang kita lakukan, Allah juga janjikan kaki sebelah kita sudah masuk ke syurga. Jadi cuba selalu bahagiakan diri dan berikan yang terbaik untuk diri anda.
Pertama Kali Sambut Hari Raya Bersama Fatima
G: Selepas kerajaan mengumumkan larangan rentas negeri sempena Aidilfitri ini, apakah perancangan Fazura untuk menyambut Lebaran nanti?
FAZURA: Saya akur dengan keputusan kerajaan, saya rasa ia keputusan yang bijak buat masa ini. Kita pun tak boleh nak rentas negeri jadi mungkin hanya menyambut dengan seadanya. Saya pun rindukan keluarga di kampung…Rindu untuk menziarahi pusara bapa. Raya, di mana kita berada pun kita boleh cuba untuk gembira dan bahagia. Jadi untuk Aidilfitri tahun ini saya akan beraya di Kuala Lumpur dan mungkin pergi staycation bersama keluarga yang ada di sini sahaja.
G: Bila kali terakhir Fazura pulang ke kampung? Sudah berpeluang bawa Fatima pulang berjumpa keluarga?
FAZURA: Kali terakhir kami balik raya lama dah rasanya, sebelum Fatima lahir. Justeru sedikit sebanyak saya ada terkilan juga lah kerana ingat tahun Ini dapat bawa dia balik dia ke kampung. Tapi nak buat macam mana, kami akur dan itulah pengorbanan kita semua raya tahun ini.
G: Pertama kali beraya bersama Fatima, apa yang membuatkan Fazura teruja Lebaran kali ini?
FAZURA: Raya kali ini semua untuk Fatima. Ini kali pertama Fatima beraya jadi saya sangat teruja untuk meraikannya. Paling teruja adalah hendak tempah baju raya untuknya serta dress up dia cantik-cantik.
G: Apakah tema baju raya Fazura sekeluarga tahun ini?
FAZURA: Tema raya tahun ini warna pink memandangkan anak pun perempuan jadi bagi chance la dia seronok. Kami buat baju pun sebab nak meraikan Fatima..memang tumpang sekaki lah!
Baju Raya tak banyak tapi ada la buat baju baharu untuk meraikan dia…Kawan-kawan pereka fesyen pun ada kata nak buat baju untuk Fatima jadi kita pun ikut sekali lah tempah.
G: Melihat situasi pandemik sekarang, bagaimana Fazura menjaga keselamatan Fatima untuk berdepan dengan tetamu atau saudara mara yang mungkin teruja hendak memeluk serta mencium Fatima?
FAZURA: Ada anak ni macam tu la memang sentiasa berdebar serta bimbang hendak bawa Fatima berjumpa ramai orang. Tapi saya berharap orang semua faham kerana Fatima kecil lagi dan saya pun bimbang akan keselamatan dia. Lebih-lebih lagi bila ada yang hendak menciumnya, saya terpaksa menegur. Kita perlu ingat Covid-19 ini bukan main-main.
Kredit Foto: Trudolly
Instagram: @missfazura