Hiburan
Gadis Diragut Ketika Negara Berhadapan Detik Sukar, PU Amin Luah Rasa Kesal
Pengacara dan pendakwah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Amin berasa kesal melihat video sebuah kejadian ragut yang berlaku ketika masyarakat sedang berhadapan isu COVID-19 yang membimbangkan.
Perkara itu diluah menerusi sebuah entri di akaun Instagram miliknya semalam.
Menurut Amin, masyarakat harus segera menginsafi diri ketika ditimpa musibah, bukannya terus melakukan kejahatan.
"Musibah datang untuk kita segera bertaubat, bukan terus melakukan maksiat, ingatlah kejahatan pasti mengundang murka Tuhan," tulisnya sebagai kapsyen.
Dalam pada itu, Amin turut mempersoalkan mengapa masih ada individu yang mahu memudaratkan orang lain untuk mendapatkan wang sedangkan kerajaan telahpun menyegerakan bantuan untuk rakyat pada waktu sukar ini.
"Bantuan kepada rakyat telah disediakan, makanan mencukupi, agihan bantuan telah disegerakan, tapi kenapa masih perlu meragut dan menambah luka pada manusia," tulisnya lagi.
Menjengah ruangan komen, rata-rata pengikut Amin turut berasa terkejut dan sedih melihat video kejadian yang dikongsi di entri tersebut.
Amin juga menasihati orang ramai untuk sentiasa berhati-hati ketika berada di luar rumah.
"Pada semua kawan-kawan, berhati-hati ketika berada di luar rumah, bacalah ayat kursi tiga kali setiap kali keluar rumah.
"Syaitan tak pernah rehat, begitu juga ayat-ayat Tuhan yang pasti melindungi kita dari rancangan jahat syaitan.
"Ya Allah jauhkan kami dari bencana yang membinasakan kami!" tulisnya mengakhiri kapsyen.
Sebagai rakyat Malaysia, mari kita sama-sama bersikap positif dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan untuk menghentikan penularan wabak COVID-19 dengan segera.
Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan menggunakan sabun selama sekurang-kurangnya 20 saat, pakai topeng muka ketika perlu, gunakan 'sanitizer', amalkan penjarakkan sosial serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!
Must-Watch Video