Seorang gadis muda, Nur Fakhira Amani mengakui perasaannya bercampur baur selepas mendapat kejutan daripada barisan frontliners.

Ketika dihubungi Gempak, Fakhira yang sedang menjalani kuarantin mendapat sepotong kek bersempena dengan ulang tahun kelahirannya yang ke-23.

"Ini adalah sambutan hari lahir saya ke-23. Saya berasa terharu, sebak dalam masa yang sama rasa sedih pun ada.

"Untuk ulang tahun kelahiran kali ini saya menyambutnya dalam keadaan dikuarantin disebabkan saya merupakan kontak rapat salah seorang pesakit positif Covid-19," katanya.

Tambah Fakhira, dia berharap agar semua pihak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan memberi bekerjasama supaya pandemik ini dapat diatasi.

"Kesian dengan frontliners yang sudah bertungkus-lumus. Tolong jaga SOP, pakai pelitup muka, pastikan tangan dicuci dan jaga penjarakan sosial.

"Jangan bersalaman, apatah lagi berpelukan. Ubah pemikiran untuk kebaikan bersama. Semua itu penting untuk kita menang," katanya lagi.

Sebelum ini, Fakhira ada berkongsi sebuah rakaman video frontliners sedang menyanyi lagu hari lahir kepadanya pada 15 Oktober lalu.

"Terima kasih abang kakak frontliners kita yang comel dan baik hati. Saya sayang awak semua," tulisnya di laman Twitter.Perkongsian itu telah mendapat lebih 10,000 kicauan (retweet) dan 20,000 tanda suka (likes).





Twitter: @Khiera_Wzag