Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

“Gagah Macam Pahlawan Kesultanan Melaka” - Netizen Terpegun Polis Ronda Naik Kuda!

Hanafis Haris
11/11/2020 08:44 MYT
Gelagat beberapa anggota polis yang membuat rondaan menggunakan haiwan kuda ternyata membuatkan ramai terpegun.

Rondaan unit berkuda di kawasan sekitar Serdang itu dikatakan viral selepas beberapa gambar dimuat naik oleh laman Facebook rasmi Polis Daerah Subang.

“Rondaan Cegah Jenayah / Community Policing di bawah pentadbiran Balai Polis Bandar Kinrara bersama anggota bertugas dengan kekuatan empat ekor kuda dari Unit Berkuda PDRM.

“Masyarakat sekitar memberi maklum balas yang baik dengan kehadiran rondaan pihak polis ke kawasan perumahan dan membuat mereka berasa selamat serta berpuas hati dengan kehadiran pihak polis yang turut turun membuat rondaan cegah jenayah bersama unit berkuda.

“Masyarakat berharap program baik seperti ini diteruskan dari semasa ke semasa dan dapat menaikkan lagi imej PDRM selari slogan "Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada".

“Help break the COVID-19 chain,” kata pengendali akaun tersebut.

Sementara itu menerusi ruang komen, rata-rata memuji dan mengucapkan terima kasih atas usaha tersebut.

Malah tidak kurang juga berjenaka menggelar unit berkuda seperti pahlawan pada zaman kesultanan Melaka dahulu.

Untuk makluman, Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah satu elemen pencegahan jenayah paling penting yang digunakan pasukan itu khususnya di kawasan pedalaman.

Penggunaan unit berkuda berkenaan turut membabitkan kawasan yang tidak dapat dihampiri dengan mobiliti yang ada pasukan itu.

#Viral #Viral #Polis #Kuda