HIBURAN
“Gagal Dengan Jayanya, Pointer Dapat 1.6 Kau Rasa?” – Fairuz Selamat Rindu Nak Sambung Belajar
Penyanyi Fairuz Selamat menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi.
Hasrat itu diluahkan Fairuz menerusi kemas kini terbaru di akaun Instagramnya semalam.
Menerusi posting itu juga, Fairuz turut mengimbas kembali kenangan sewaktu belajar dahulu.
“Aku sebenarnya tengah cari gambar lain, tapi terjumpa gambar ni dari handphone lama. Aku tak ingat tarikh dia bila tapi September 2009. Kiranya tepat 10 tahun dah aku tinggalkan dunia pengajian. Zaman yang paling dirindukan!
“Aku dulu study dekat Universiti Malaya. Masuk tahun 2005. Amik sarjana muda pengajian Muzik. Major in Pop Vocal. Tapi aku gagal. Gagal dengan jayanya. Sebab aku tak pernah belajar teori muzik.
“Masuk buta-buta sebab pengalaman. Semester pertama dapat pointer 1.6. Ko rasa? Haha time tu lah rasa nak balik kampung jual karipap depan rumah.
“Pulak tu aku je satu-satunya budak Melayu batch tu. Masuk kelas duduk satu kerusi kat hujung sambil muka acah-acah faham.
“2006, aku tukar ke Pengajian Drama major dalam lakonan. Dalam ni baru lah rasa indahnya dunia pengajian. Belajar benda yang boleh dibelajar. Lepas tu campur kami batch STPM, sebahagian lagi batch ASWARA.
“Bergaduh-gaduh kami dalam kelas nak dapatkan result terbaik. Paling best, kelas TITAS, sorang je pergi sainkan kedatangan, kami semua pergi Midvalley main bowling. Hahaha!
“Alhamdulillah dapat habiskan pengajian. Dan aku orang pertama naik pentas masa amik ijazah tu. Masa zaman belajar ni apa je aku tak buat. Masuk bertanding dalam festival seni.
“Nyanyian, nasyid, teater, puisi, band, tarian, semua lah! Sampai kelas pun aku tapau semua. Tapi percaya tak, benda ni semua lah yang buat aku semangat nak datang U nak belajar. Kalau mengadap buku je, mungkin aku sekarang aku masih jual karipap kat depan rumah,” kongsinya.
Fairuz juga turut menitipkan pesanan buat pengikutnya mengenai kepentingan mengutamakan pelajaran.
“Well, aku selalu pesan kat diri aku, kalau nak berjaya timba lah pengalaman dan ilmu banyak-banyak. Benda tu sangat berguna bila kau dah masuk alam perkerjaan yang penuh onak dan duri ini.
“Ilmu tu bukan pelajaran semata-mata. Tapi skop yang luas menjangkau semua aspek dalam benda yang kau buat hari-hari
“Alhamdulillah, sekarang tuhan beri aku jalan untuk bertugas dalam bidang yang masih sealiran dengan pengajian. Jalannya tak mudah. Kisahnya tak tertulis sentiasa indah.
“Tapi sekali lagi, nikmat tu kalau kau hayati sekecil zarah pun boleh buat kau bahagia. Bukan duit dan rupa. Tapi penghayatan kepada perkara yang kita buat setiap masa. Rindu. Aku plan nak sambung study. UKM mungkin?” tulisnya.
Terdahulu, Fairuz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Selamat sebelum ini merupakan bekas anggota kumpulan Q-Face yang terkenal dengan lagu Izinkanlah dan Cinta Tak Sehaluan.
Must-Watch Video