Seorang remaja berusia 17 tahun terpaksa berputih mata apabila dikenakan kompaun berjumlah RM10,000 kerana tidak mendaftar butiran atau mengimbas menerusi aplikasi MySejahtera.

Difahamkan, kompaun tersebut dikenakan selepas remaja yang enggan dikenali namanya itu masuk ke sebuah kedai runcit di Batu Berendam, Melaka.

Menerusi laporan The Star, remaja tersebut menjelaskan dia ketika itu sedang bergegas ke kedai runcit berdekatan rumahnya bagi mendapatkan ubat parasetamol untuk ibunya.

"Saya tanya sama ada terdapat jenama paracetamol di kedai tersebut.

“Namun ketika keluar dari kedai, polis yang berpakaian biasa melihat saya dan mengeluarkan kompaun," katanya.

Jelasnya lagi, dia tidak diberikan peluang untuk memberi penjelasan dan kompaun terus dikeluarkan.

“Tapi saya faham, polis menjalankan tugas mereka.

"Saya amat berharap dapat membuat rayuan berhubung kompaun tersebut dan mencari wang untuk menyelesaikannya tanpa membebankan ibu bapa saya.

“Saya ada adik perempuan yang masih bersekolah.

“Pendapatan bapa tidak cukup untuk membayar kompaun tersebut, sementara ibu suri rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi berkata, pelajar tersebut boleh membuat rayuan kepada pegawai kesihatan daerah (PKD) Melaka Tengah bagi pengurangan jumlah kompaun.

Sumber : The Star