Golongan antivaksin yang dikesan cuba menghasut orang ramai daripada menerima suntikan vaksin COVID-19 kini boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Perkara itu disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Menurutnya, golongan terbabit boleh dikenakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Akta Hasutan 1948.

Selain Akta Hasutan, turut berkait adalah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan undang-undang di bawah Ordinan Darurat 2021.

"Kita tidak perlukan undang-undang baharu, boleh guna undang-undang sedia ada,"

"Dalam keadaan kerajaan berdepan pandemik COVID-19, saya minta jangan timbulkan suasana tidak tenang dengan menyebarkan pelbagai maklumat palsu dan boleh menjejaskan keamanan.

"Itu nasihat kerajaan dan sekiranya ada yang masih ingkar, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan sewajarnya sebagai pilihan terakhir jika keadaan tidak terkawal," katanya menerusi Berita Harian.

Sementara itu Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Ordinan Darurat (kuasa-kuasa perlu) (no. 2) 2021 yang diwartakan itu adalah khusus untuk mengekang aktiviti penghasilan dan penularan berita tidak benar yang mempunyai kaitan dengan Covid-19 atau Proklamasi Darurat 2021.

Menurutnya, ia sekali gus memberi kuasa kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKKM) menangkap tanpa waran mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang cuba menyiar serta menyebarkan secara keseluruhan atau sebahagian berita tidak benar khususnya di media sosial.

"PDRM mengesahkan sebanyak 21 kertas siasatan dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 4(1) ordinan ini sejak dikuatkuasakan pada 12 Mac lalu.

"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman serta kontinjen," katanya dalam kenyataan hari ini.