Penyanyi baru berbangsa India, Hashmitha Selvam menafikan gangguan elemen misteri merupakan salah satu gimik untuk strategi pemasaran single pertamanya yang berjudul Takkan Kembali.

Gadis yang berasal dari Melaka ini mengakui wujudnya elemen misteri ketika sesi rakaman lagu ini berlangsung dan ia berlarutan sehingga kini.

BACA: Menyeramkan! Netizen Terdengar Bisikan Misteri Dalam Muzik Video Lagu Penyanyi Baru... Biar Betul?

"Ini bukan gimik. Ada banyak lagi cara lain yang boleh digunakan untuk melariskan lagu pertama saya.

"Semuanya berlaku tanpa diduga dan saya rasakan peminat boleh menilainya sendiri.

"Saya dan pihak pengurusan, Datu Entertainment juga akur yang kami tidak boleh menutup mulut orang.

"Pastinya akan ada andaian lain timbul kerana semua pihak mempunyai pendapat tersendiri.

"Saya akui, semenjak sesi rakaman lagu, rakaman muzik video serta sesi promosi, ada saja perkara yang berkaitan dengan elemen itu wujud.

"Ketika proses rakaman muzik video berlangsung, seorang kru dimasukkan ke hospital sehari selepas penggambaran di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 26 Shah Alam," katanya.




Hashmitha ditemui di sesi sidang media lagu Takkan Kembali di Hotel Royal, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Malah, pada Selasa lalu, ketika Hashmitha menghadiri sesi temu bual program MeleTOP di Astro Bukit Jalil, kejadian misteri turut berlaku.

"Ada lintasan yang muncul secara tiba-tiba di kaca kamera hingga mengundang rasa terkejut pihak produksi dan peminat.

”Netizen boleh melihatnya serta membacanya reaksi orang ramai di ruangan komen video YouTube yang dimuat naik oleh MeleTOP.




"Insiden ini agak pelik untuk saya dan selepas pulang dari menghadiri temu bual program itu, ia membuatkan saya sukar tidur malam," katanya lagi.

Takkan Kembali merupakan single pertama Hashmitha yang dicipta oleh Hadi Rumnan dan Iman Imran.

Muzik video Takkan Kembali telah meraih lebih 272,000 tontonan di laman YouTube dan ia turut menampilkan Erwin Dawson sebagai pelakon undangan.