Seorang lelaki yang tergamak menendang bapa sendiri hingga patah rusuk selepas ditegur kerana menconteng dinding rumah.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superitendan Basri Sagoni menerusi satu kenyataan.

Menurut Basri, kejadian dipercayai berlaku pada jam 3 petang Rabu lalu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Menurutnya, suspek yang menconteng dinding rumah menggunakan pen penanda dipercayai berang selepas ditegur.

“Suspek berusia 26 tahun bertindak di luar kawalan dengan menendang mangsa yang berusia 68 tahun.

“Mangsa mengalami sakit di bahagian badan dan leher melakukan pemeriksaan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban pada keesokan harinya ketika pulang ke rumah isterinya.

"Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan salah satu tulang rusuk kanan mangsa patah akibat hentakan kuat," katanya.

Jelas Basri, bertindak atas laporan yang diterima daripada mangsa, polis menahan suspek di rumahnya, kira-kira pukul 9.20 malam, Khamis.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan dia tidak mempunyai rekod lampau.

"Ketika disoal siasat, suspek mengaku menendang perut bapanya kerana mahu mempertahankan dirinya daripada dipukul," ujarnya.

Tambahnya, suspek yang tidak bekerja itu kini ditahan reman dua hari sehingga esok bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah.

Sumber : Astro Awani