Seorang lelaki bertindak membakar anak lelakinya yang berusia 12 tahun sehingga mati selepas kanak-kanak itu tidak berjaya menjawab soalan menerusi kerja rumah yang diberikan oleh pihak sekolah.

Selepas cedera dibakar, kanak-kanak bernama Shaheer Khan yang tinggal di Orangi, Karachi itu dibawa ke hospital dan meninggal dunia dua hari kemudian.

Bapanya, Nazir Khan dilaporkan menyimbah minyak tanah pada Shaheer dan menyalakan mancis untuk menakut-nakutkan anaknya supaya menyiapkan kerja rumah. Bagaimanapun, nyalaan api itu menyambar minyak yang disimbah lalu menyebabkan Shaheer terbakar.

Tatkala mendengar jeritan Shaheer, ibunya, Shazia meluru masuk ke dalam bilik untuk mendapatkan anaknya. Kedua Shazia dan Nazir berusaha memadamkan api pada anaknya dengan menggunakan selimut. Namun, usaha mereka tidak berhasil.

Selepas mendapat tahu bahawa anaknya telah meninggal dunia pada 16 September lalu, Shazia bertindak memfailkan kes terhadap suaminya.

Pihak berkuasa menahan Nazir pada keesokan harinya dan dia akan ditahan sehingga 24 September untuk perbicaraan di mahkamah.

Menerusi laporan media tempatan, pegawai polis Salim Khan memberitahu yang Nazir naik angin selepas Shaheer mahu keluar bermain layang-layang dan enggan menyiapkan kerja sekolah.

Nazir kemudian meminta Shaheer menjawab beberapa siri soalan berkenaan kerja sekolahnya. Tetapi Shaheer tidak memberikan jawapan yang ‘memuaskan’.

Nazir mengaku bersalah ke atas jenayah yang dilakukan.

Sumber: India Times
Kredit foto: K8 dan Max Saeling (Unsplash)

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini.

Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!