Hujung minggu lalu, tular tempat rekreasi popular Bukit Broga yang terletak di Semenyih dipenuhi pendaki.

Situasi menunjukkan orang awam beratur menanti giliran mendaki itu walaubagaimanapun mencetuskan kebimbangan ramai.

Sanggup berhimpit dan tidak mengamalkan jarak sosial.

BACA: Tahu Ramai Macam Ni Baik Balik Cari Durian!” – Warganet Bimbang Bukit Broga Ditutup Kerana Pendaki Tak Ikut SOP

Namun, hari ini Bukit Broga telah diarahkan ditutup selama dua minggu daripada sebarang aktiviti pendakian.

Arahan berkenaan susulan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Menerusi Harian Metro Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Langat Yusri Zakariah berkata, mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Selangor hari ini bersetuju menutup kawasan rekreasi berkenaan.

"Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor akan mengeluarkan arahan penutupan Bukit Broga mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 7) 2020.

"Agensi-agensi berkaitan juga diminta membuat hebahan dan pemantauan terhadap pematuhan SOP yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan, Bukit Broga yang berada di bawah seliaan MPKJ itu tidak menempatkan pegawai secara khusus di kawasan berkenaan memandangkan kawalan ke laluan masuk dilakukan pemilik tanah serta pengendali parkir.

Sumber: Harian Metro