Penyanyi Tomok memaklumkan konsert kumpulan New Boyz di Singapura yang sepatutnya berlangsung Ahad ini telah ditunda ke satu tarikh lain.

Menurut Tomok, penundaan itu adalah disebabkan penularan wabak Koronavirus yang sedang meningkat.

"Sepatutnya, 23 Februari ini, kumpulan New Boyz mengadakan konsert di Singapura, namun ia terpaksa ditunda disebabkan wabak Koronavirus yang sedang menular.

"Saya akui agak kecewa dengan perkara ini namun ia harus dilakukan, Insya-Allah, konsert itu akan ditunda ke bulan September tahun ini.

"Kami telah membuat persediaan secukupnya, tetapi aspek keselamatan dan kesihatan tidak harus diketepikan," katanya.

Tomok berkata demikian ketika ditemui di sidang media Konsert 4G's bertempat di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Selasa.

Tambah Tomok, konsert tersebut akan mengumpulkan barisan anggota lama dan baru kumpulan New Boyz.

"Dalam konsert tersebut, barisan anggota lama dan baru kumpulan kami akan berkumpul bersama, semoga ia dapat membuka ruang yang lebih baik untuk New Boyz," tambahnya.



Dalam perkembangan lain, Tomok akan bergandingan bersama Black, Hazama dan Akim dalam Konsert 4G's.

Konsert 4G's akan berlangsung di Istana Budaya pada 17 dan 18 April ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai konsert tersebut, sila hubungi 018-2488184.