Seorang pelakon wanita dan bekas model didenda RM20 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mabuk dan membuat kacau di sebuah restoran, 5 Januari lalu.

Majistret Stephanie Sherron Abbie menjatuhkan hukuman itu terhadap Persana Avril Sollunda, 40, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan kepadanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sehari sekiranya gagal membayar denda itu bagaimanapun tertuduh membayar denda berkenaan.

Memetik laporan Berita Harian, wanita tempatan itu melakukan kesalahan berkenaan di sebuah restoran di Damai Plaza Luyang di sini pada jam 11 malam, 5 Januari lalu mengikut Seksyen 510 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara hingga 10 hari atau didenda tidak melebihi dua puluh ringgit atau kedua-duanya sekali sekiranya sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dilihat mabuk, gagal mengawal diri, berkelakuan tidak senonoh serta mengganggu pelanggan lain.

Pasukan polis yang tiba di lokasi segera menahan tertuduh yang ketika itu dipegang beberapa pekerja restoran bagi mengelakkan tertuduh membuat kacau di restoran berkenaan.

Tertuduh kemudiannya direman selama lima hari untuk siasatan dan hasil semakan lanjut mendapati tertuduh mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Tertuduh juga tersenarai sebagai orang dikehendaki di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi kesalahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 yang dilakukan pada 2016.

Sebelum ini, tertuduh pernah ditularkan di media sosial pada 23 April 2015 kerana berkelakuan lucah di Petaling Street Kuala Lumpur.

Selepas dituduh mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan bagi kesalahan tersebut, Majistret Nur Aminahtul Mardhiah mengenakan Bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM4,000 bagi tertuduh.

Sumber: Berita Harian
Kredit foto: Deasoka

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.