Peguam dan aktivis terkenal Siti Kasim menyelar tindakan pendakwah bebas PU Riz yang menegur wargamaya supaya tidak berkongsi foto tidak menutup aurat Allahyarham Adibah Noor.

Menerusi satu ciapan di laman Twitter, Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim meminta pendakwah tersebut menutup mulut dan tidak masuk campur urusan orang lain.

“Siapa dia ni? Dia patut jaga hal sendiri dan diam! Dia ingat dia dah ada tempat di syurga?” tulisnya lantang.

Dalam pada itu, Siti Kasim turut meluahkan rasa terkesan dengan pemergian Allahyarham yang disifatkan sebagai seorang yang hebat meskipun tidak mengenalinya secara peribadi.


Sementara itu, di ruangan komen, ciapan berbentuk sindiran itu telah menarik perhatian ramai apabila rata-rata wargamaya tidak bersetuju dengan Siti Kasim.

Namun, tidak kurang juga ada yang berpendapat PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Ismail tidak patut membicarakan soal itu memandangkan beberapa isu terkait isterinya, Noor Neelofa sebelum ini.

“Tak faham. Orang tu tegur benda betul, tapi kalau dah gelap hati kan,” kata seorang wargamaya.

“Sekurang-kurangnya dia cuba untuk masuk ke dalam syurga. Orang sekarang ni macam berlumba nak masuk neraka lol,” ujar seorang wargamaya.

“Jangan risau, dia akan buat benda yang sama bila awak meninggal nanti,” kata seorang wargamaya.

“Ok yang ni saya tidak bersetuju. PU tu betul lah sis. Dia remind benda yang baik,” tulis seorang wargamaya.

“PU Riz cuma minta jangan sebarkan gmbr arwah yang tak menutup aurat. Kenapa nak pertikai, saya respect bila bagi komen bab undang-undang, tapi yang ni ..entahlah,” luah seorang wargamaya.

“Seseorang patut tanya dia dan isteri dia untuk tidak sesekali sebarkan gambar kemewahan dan kekayaan mereka ketika masih hidup,” tegur seorang wargamaya lagi.

Pada Isnin, Haris menerusi satu coretan di IG Story memohon wargamaya tidak berkongsi foto yang merakamkan arwah penyanyi Adibah Noor tidak menutup aurat.

BACA: “Minta Jasa Baik…” - PU Riz Mohon Jangan Kongsi Foto Arwah Adibah Noor Tidak Tutup Aurat

Terdahulu, industri seni dikejutkan dengan pemergian sebutir permata yang disayangi ramai, Allahyarhamah Adibah Noor.

Adibah atau nama sebenarnya Adibah Noor Mohamed Omar telah menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira jam 6.00 petang Sabtu di Hospital Gleanegles selepas menderita kanser ovari tahap empat.