Hiburan
Gaya Nyanyian Seperti Saloma, Ernie Zakri Pilih Aisyah Aziz Untuk Anta Permana
Penyanyi Ernie Zakri menyatakan dia melihat penyanyi Aisyah Aziz yang berpotensi untuk menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu Anta Permana sekiranya lagu itu layak ke Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34).
Menurut Ernie, Aisyah mempunyai suara yang berbeza daripada Siti Nurhaliza.
"Secara peribadinya, saya suka Aisyah Aziz untuk membawa lagu Anta Permana.
"Dia mempunyai gaya nyanyian ala Allahyarham Puan Sri Saloma.
"Bila kita ambil seseorang yang sepenuhnya berbeza daripada penyanyi asal, perbandingan akan berkurangan.
"Namun itu hanya pendapat saya kerana saya sendiri sudah mendengar Aisyah menyanyikan lagu itu," katanya kepada Gempak.
Ernie ditemui ketika taklimat media Mentor Milenia di Bandar Utama, semalam.
Penyanyi lagu Ku Bersuara ini bertindak sebagai mentor untuk musim terbaru program itu bersama Akim Ahmad, Black Hanifah, Hazama dan Stacy Anam.
Pemilik nama Nur Ernie Shahirah Zakri ini berkata, sehingga kini dia belum menerima sebarang tawaran rasmi sama ada dari pihak komposer atau penyanyi.
"Setakat ini, belum ada apa apa tawaran rasmi sama ada dari pihak Hael Husaini atau Siti untuk menyanyikan lagu itu. Ada dengar usik-usik namun itu sahaja.
"Saya menyerahkan kepada komposer iaitu Hael dan Ezra Kong serta Siti sendiri sebagai penyanyi asal lagu tersebut untuk memilih siapa yang layak mendendangkan lagu tersebut di pentas AJL34 jika lagu itu mara," katanya lagi.
Terdahulu, timbul desas desus mengatakan Ernie Zakri bakal menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu Anta Permana di AJL34.
Must-Watch Video